Perjuangan bagi merebut dua slot ke saingan Piala Malaysia menerusi Liga M3 diteruskan dengan pasukan-pasukan utama mula menepis cabaran lawan masing-masing.
Pasukan pilihan seperti KL Rovers dan Harini tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawan masing-masing untuk mengukuhkan cengkaman di peringkat atasan liga.
KL Rovers yang melayan kunjungan Manjung City mudah untuk menewaskan mereka dengan jaringan 3-0.
Keutuhan Manjung menyerap asakan musnah pada separuh masa kedua apabila Rovers berjaya menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti Amer Saidin pada minit ke-51.
Rafie Mat Yaacob menambah jaringan pada minit ke-79 sebelum Fariz Hafiz mengesahkan kemenangan mereka pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Harini juga turut mencatatkan kemenangan dengan merekodkan jumlah jaringan yang sama apabila mereka menumbangkan Bukit Tambun.
Tetapi, mereka melakukannya dengan lebih pantas apabila Harini menjaringkan gol awal menerusi Khyrill Muhymeen pada minit ke-3.
Zulkiffli kemudiannya menjaringkan gol kedua Harini pada minit ke-51 sebelum Fikri Shah mengesahkan kemenangan Harini di penghujung perlawanan.
SAINS juga terus memberikan tekanan kepada kedudukan atasan liga apabila berjaya merekodkan kemenangan di tempat lawan ketika bertemu Malaysia University.
Gol tunggal oleh Khaizil Jasmi pada minit ke-50 cukup untuk membolehkan SAINS meraih tiga mata di Stadium UKM, Bangi.
Berikut merupakan keputusan-keputusan lain bagi aksi minggu ke-11 Liga M3:
- Perlis United 0-0 PIB
- Armed Forces 4-2 Sarawak United (Rafizol 17′, Venice Elphi 74′, Zaironi 76′, Norfareez 90’/Ab. Rahim 5′, Awang Irfan 60′)
- Naga Ultimate 0-6 Imigresen (Saiful Safaiz [gol sendiri] 3′, Syamim Yahya 33′, Azim Rahim 56′, 61′, 71′, 80′)
Jurang mula meluas
Jarak antara dua pasukan teratas sudah mula menampakkan jurang dengan pasukan-pasukan lain dalam liga.
Rovers yang sebelum ini tersungkur dari puncak liga kini kembali mendahului dengan 26 mata dan tiga mata di depan Harini ditangga kedua.
Sementara Imigresen dan SAINS masing-masing mengumpul 19 mata untuk menghuni tangga ketiga dan keempat liga.
Naga Ultimate kekal sebagai pasukan paling teruk dengan tanpa sebarang mata.