Sedar tidak sedar, sudah hampir seabad Piala Malaysia berlangsung.
Pada 20 Ogos 1921, perlawanan Selangor vs Pulau Pinang di padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) menandakan bermulanya kejohanan Piala HMS Malaya yang julung-julung kali dianjurkan.
Penduduk Tanah Melayu pada ketika itu mungkin tidak menyedari betapa besarnya magnitud kesan kejohanan bola sepak ini kepada budaya sukan rakyat Malaysia dan Singapura.
98 tahun selepas Piala HMS Malaya bermula, bola sepak kekal sukan nombor satu di Malaysia dan Singapura.
98 tahun selepas Piala HMS Malaya bermula, gelaran juara piala ini masih menjadi rebutan pasukan-pasukan bola sepak di Malaysia.
98 tahun selepas Piala HMS Malaya bermula, peminat-peminat bola sepak Malaysia (malah Singapura juga) masih berbangga dengan rekod pasukan sokongan mereka dalam kejohanan ini.
Apa itu HMS Malaya?
Bercakap mengenai Piala HMS Malaya, tak lengkap jika kita tidak mengetahui asal-usul nama ‘HMS Malaya’ itu sendiri.
Pada November 1912, kerajaan pusat British meluluskan bajet sebanyak 2 juta pound sterling untuk membina sebuah kapal perang berperisai yang kemudiannya dinamakan His Majesty’s Ship (HMS) Malaya.
Sejurus selepas siap pembinaannya pada 1915, HMS Malaya menyertai armada British royal Navy di Scapa Flow, Scotland pada 1916. Apabila Perang Dunia Pertama meletus, HMS Malaya bertempur dalam Battle of Jutland menentang tentera laut Jerman.
Kali pertama HMS Malaya berada di perairan Malaya adalah di Pelabuhan Swettenham (kini Pelabuhan Klang) pada Januari 1921.
Ketika HMS Malaya berlabuh selama 10 hari di Pelabuhan Swettenham, anak-anak kapalnya menganjurkan perlawanan ragbi, bola sepak dan kriket dengan penduduk tempatan.
Selain Klang, HMS turut singgah di Singapura, Melaka, Pulau Pinang dan Port Dickson.
Bagaimana Piala HMS Malaya bermula?
Sejurus selepas berangkat pulang dari persinggahan di beberapa pelabuhan Tanah Melayu, komander HMS Malaya, Kapten HT Butler telah menghantar satu telegram kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir William G. Maxwell.
Berikut merupakan mesej telegramnya:
Seperti yang diberitahu dalam telegramnya, Kapten HT Butler begitu terharu dengan layanan istimewa penduduk Tanah Melayu terhadap anak-anak kapal HMS Malaya.
Sebagai balasan, beliau dan anak kapal HMS Malaya mengambil keputusan untuk menghadiahkan 2 buah trofi untuk dijadikan hadiah pertandingan sukan ragbi dan bola sepak di:
- Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang)
- Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, Singapura)
Akhbar The Straits Times bertarikh 22 Disember 1921 menjelaskan dengan terperinci bagaimana rupa bentuk asal Piala HMS Malaya pemberian kru kapal HMS Malaya:
Selangor vs Pulau Pinang: perlawanan pertama Piala HMS Malaya 1921
Edisi sulung Piala HMS Malaya yang diadakan pada 1921 ini disertai oleh semua Negeri-negeri Melayu Bersekutu (kecuali Pahang) dan Negeri-negeri Selat.
Ini bermakna sebanyak 6 negeri menyertai edisi sulung Piala HMS Malaya – Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.
Selangor, Perak dan Pulau Pinang dikumpulkan dalam kumpulan Utara. Manakala Negeri Sembilan, Melaka dan Singapura dalam kumpulan Selatan. Juara setiap kumpulan akan mara ke final.
Kumpulan Utara memulakan cabaran terlebih dahulu.
Pada 20 Ogos 1921, Selangor melayan kunjungan Pulau Pinang di padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka). Selangor menang mudah 5-1.
Tidak banyak yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan mengenai perlawanan pertama Piala HMS Malaya 1921 ini.
Akhbar The Straits Times sebagai contoh, hanya memerlukan 77 patah perkataan untuk melaporkan perlawanan tersebut.
Dalam perlawanan bersejarah tersebut, pasukan Selangor dibarisi oleh:
- 7 pemain berkulit putih yang rata-ratanya merupakan ahli kelab kriket dan ragbi Selangor
- 3 pemain berbangsa Cina dari Persatuan Bola Sepak Cina Selangor dan
- seorang penyerang berbangsa Eurasia.
Kapten Selangor, seorang lelaki kulit putih bernama Huggins merupakan pemain bintang ragbi Selangor. Manakala Rosario, penyerang Selangor yang berbangsa Eurasia merupakan pemain kriket Selangor.
Seperti Selangor, Pulau Pinang juga dibarisi oleh beberapa pemain berkulit putih dan berbangsa Cina.
Tetapi menjelang perlawanan kedua menentang Perak, Pulau Pinang terpaksa menarik diri kerana tak cukup pemain.
Selangor pula tiada masalah menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan ke-2 kumpulan. Dengan 2 kemenangan, Selangor layak ke final selepas muncul juara kumpulan Utara.
Singapura: pasukan paling kuat dari Selatan
Sebagai salah sebuah koloni British paling makmur, Singapura tiada masalah untuk mengumpul 11 pemain.
7 hari selepas perlawanan kumpulan Utara selesai, perlawanan kumpulan Selatan bermula dengan Negeri Sembilan melayan kunjungan Singapura di padang Kelab Negeri Sembilan, Seremban.
Diperkuatkan dengan 10 pemain berkulit putih (rata-ratanya dari anggota tentera, ahli-ahli kelab ragbi dan kriket) dan 1 pemain berbangsa Cina, Singapura tiada masalah membelasah Negeri Sembilan 4-0.
Dalam perlawanan kedua, Singapura menewaskan Melaka 2-0 untuk mara ke final bertemu Selangor.
Final Piala HMS Malaya 1921: medan bermulanya permusuhan
Selepas menjuarai kumpulan masing-masing, Selangor dan Singapura bertembung dalam final Piala HMS yang sulung pada 1 Oktober 1921 di padang Jalan Raja, Kuala Lumpur.
Menurut laporan akhbar The Straits Times pada 3 Oktober 1921, perlawanan final tersebut menarik minat penonton yang datang dari Pulau Pinang, Perak, Seremban, Melaka dan seluruh daerah di Selangor.
Kerajaan British hanya menyediakan 200 tempat duduk. Tetapi penonton memenuhi padang sehingga terdapat 5-6 baris penonton di setiap garis tepi padang!
Seawal pukul 3 petang, Jalan Raja sudah dipenuhi ratusan kereta. Orang ramai mula memanjat bangunan Pejabat Pos dan bangunan sekretariat untuk mendapat pemandangan yang bagus.
Sementara menunggu perlawanan yang bermula pada pukul 5 petang, orang ramai dihiburkan oleh persembahan kumpulan jazz yang dipimpin oleh Leftenan Riches.
Beruntunglah penonton yang hadir. Mereka bakal menyaksikan titik permulaan perseteruan bola sepak paling lama dalam sejarah bola sepak Malaya.
Perlawanan sengit
Menarik untuk diperkatakan bahawa kedua-dua pasukan diketuai oleh pemain ragbi berkulit putih.
Kapten Selangor adalah Huggins dari Kelab Ragbi Selangor. Manakala kapten Singapura adalah Wheatley dari Kelab Ragbi Singapura.
Perlawanan final ini juga menampilkan pemain berbangsa Melayu yang pertama iaitu Salleh, half back Selangor yang terpaksa menjadi bidan terjun menggantikan Martin yang tidak dapat bermain.
Kedua-dua pasukan bermain dengan formasi tipikal pada ketika itu, iaitu 2-3-5.
Perlawanan berlangsung seimbang. Bagaimanapun Singapura terlebih dahulu mendahului 1-0 beberapa minit sebelum rehat separuh masa menerusi gol Jamieson, pemain yang ‘diimport’ dari Kelab Kriket Selangor.
Ketinggalan 0-1, Selangor melancarkan siri serangan bertubi-tubi.
The Straits Times melaporkan kelemahan ketara Selangor di bahagian sayap kanan menjadi punca mereka gagal menjaringkan gol dengan lebih banyak.
Tetapi Selangor berjaya juga menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Rozario, penyerang Eurasian yang ‘diimport’ dari Kelab Kriket Selangor.
Bagaimanapun Selangor gagal mengekalkan momentum. 5 minit sebelum perlawanan tamat, Moss dari Kelab Kriket Singapura menjaringkan gol kemenangan.
Perlawanan yang berlangsung selama 1 jam (30 minit setiap separuh masa) berakhir dengan kemenangan 2-1 kepada Singapura.
Cadangan memasukkan Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu
Selepas tamatnya kempen Piala HMS Malaya, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir William G. Maxwell menerima surat dari kapten baru kapal HMS Malaya, Kapten MR Royds.
Dalam suratnya, Kapten MR Royds mencadangkan agar Piala HMS Malaya pada tahun hadapan penyertaan dari Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu (Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu) dibenarkan.
Cadangan ini diterima.
Bermula musim 1922, Johor menjadi peserta Piala HMS Malaya yang pertama dari Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu.
Kesimpulan
98 tahun selepas Piala HMS Malaya (kini Piala Malaysia) dianjurkan, prestijnya masih tak pudar.
Dan melalui kejohanan inilah, perseteruan Selangor dengan Singapura dalam bola sepak lahir.
Kejohanan ini juga menjadi peringatan bahawa pada suatu masa dahulu, Tanah Melayu merupakan antara tempat terawal bola sepak berkembang di Asia.
Kini 98 tahun berlalu, mengapa tahap bola sepak kita menggambarkan seolah-olah kita baru bermain bola sepak?
Baca juga: ‘Kaki Besi’ Dan ‘Raja Bola Malaya’ – Kisah Lagenda Yang Terkubur Di The British Library