Jika anda penyokong England, ini adalah perkara yang paling sukar bagi anda walaupun ia cuma dari jarak 12 ela daripada pintu gol.
Sepakan penalti diperkenalkan dalam bola sepak pada 1890 oleh seorang yang berbangsa Ireland, William McCrum. Beliau adalah penjaga gol untuk Millford FC di Liga Ireland.
Ketika beliau mencetuskan idea ini, beliau masih bermain dan merupakan salah seorang ahli dalam kesatuan pemain.
Beliau mencadangkan agar penalti diwujudkan untuk menghukum pemain pertahanan yang gemar melakukan kekasaran untuk menghalang pihak lawan melakukan gol.
Ia adalah idea yang diilhamkan daripada sukan ragbi yang ada peraturan penalti sejak 1888.
Cadangan McCrum ini mendapat perhatian serius daripada Football Association (FA). Selepas meneliti cadangan itu, pada 1890 FA telah memasukkan penalti sebagai salah satu peraturan dalam bola sepak.
Ia termaktub dalam peraturan 13 yang menyatakan :
Jika seseorang pemain itu sengaja mengasari atau menarik pemain lawan dalam jarak sekitar 12 ela daripada garisan gol, sepakan penalti dari jarak 12 ela akan diberikan kepada pasukan lawan berdasarkan peraturan: selain penjaga gol (pasukan yang melakukan kesalahan) dan pengambil sepakan penalti, pemain lain hendaklah berada di belakang bola sekurang-kurangnya 6 ela. Gol akan dikira.
Pada awal implementasi sepakan penalti dari 1890 sehingga 1902, tidak ada titik penalti (penalty spot) pada ketika itu.
Pemain pertama yang menjaringkan penalti adalah Billy Heath ketika bermain dengan Wolverhampton Wanderers pada 14 September 1891.
Penjaga gol ‘gergasi’ Willie Foulkes pada awal era pengenalan penalti pernah menjadi antara pemain paling dikehendaki oleh kelab-kelab Inggeris kerana kepakaran beliau menyelamatkan penalti.
Pemain boleh mengambil sepakan penalti dari mana-mana kawasan di atas satu garisan melintang dalam jarak 12 ela atau kira-kira 9.5 meter. Ia disebut garisan kotak D.
Penalti yang kita lihat pada hari ini dengan adanya titik khas hanya wujud pada 1937 di mana, kedudukan bola adalah tetap di atas titik penalti.
Selepas itu, penalti menjadi salah satu elemen penting yang ada drama dan seninya yang tersendiri. Anda pasti terus teringat kepada Panenka yang diabadikan sebagai salah satu seni dalam penalti.
Sehinggakan ada dibangunkan perisian yang menyimpan data sepakan penalti dan juga data kecenderungan penjaga gol ketika menyelamatkan penalti.
Penentuan sepakan penalti juga sentiasa membuatkan jantung kita bagai nak terpadam apabila pasukan yang kita sokong bertarung dalam peraturan tersebut.
Apa yang pasti, penalti itu sudah menjadi sebahagian penting dalam bola sepak, yang penuh dengan drama dan juga tak kurang dengan kontroversi.
Anda mungkin ada sepakan penalti yang paling anda ingati. Boleh kongsikan dengan kami.