Asal-usul jersi Kedah menceritakan cerita sejarah yang cukup panjang tetapi menarik. Kedah sebenarnya sebelum tahun 1988 masih lagi belum dikenali dengan identiti hijau kuning. Pada era 70 dan 80-an, jersi Kedah banyak warna jersi seperti merah, kuning atau putih – bukannya hijau kuning.
Titik penetapan identiti hijau kuning kepada Kedah bermula pada lewat 80-an. Lebih tepat lagi pada 1987. Ketika Kedah bertemu dengan Pahang dalam separuh akhir Piala Malaysia 1987, pemain Kedah memakai jersi Puma khas. Kebiasannya berwarna putih berbelang merah di bahu, Kedah FA (KFA) menukar belang merah menjadi belang hijau kuning – khas untuk perlawanan tersebut.
Kemudian pada tahun 1988 ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang berkira-kira untuk menubuhkan Liga Semi Pro, barulah KFA mula serius untuk menjadikan hijau kuning sebagai identiti Kedah. Timbalan Presiden Kedah FA (KFA), Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil dan Setiausaha Agung KFA, Datuk Shukri Hashim adalah dua watak utama penetapan warna tersebut.
Datuk Shukri mencadangkan Kedah menggunakan warna kuning hijau – yang pada ketika itu menjadi warna identiti pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang bermain dalam Piala FAM.
Datuk Paduka Ahmad Basri Akil bersetuju walaupun pada mulanya beliau agak ragu-ragu. Tetapi sebaik sahaja beliau bersetuju, beliaulah orang yang berjaya meyakinkan semua eksekutif KFA dalam Mesyuarat Majlis KFA tentang mengapa pasukan Kedah FA perlu memakai warna hijau kuning.
Menurutnya padi – tanaman yang sememangnya sinonim dengan Kedah – berwarna hijau dahulu sebelum bertukar menjadi kuning. “Apabila orang datang ke Kedah semasa padi dah cukup usia, orang akan nampak hijau dan kuning saujana mata memandang,” kata beliau.
Seiring dengan penukaran warna jersi Kedah, KFA juga bertindak menukar logo pasukan.
Sejak dari zaman pasca Perang Dunia Kedua, KFA menggunakan logo berbentuk bulat. Lingkaran ikatan pokok padi memenuhi bahagian tepi bulatan itu. Gemal padi masak berwarna kuning pula diletak di tengah bulatan dengan tulisan ‘Persatuan Bolasepak Kedah’ berwarna merah di bawahnya.
Selepas ditukar, logo KFA baru berwarna hijau sebagai latar belakang dengan tulisan ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ berwarna kuning. Di bahagian tengah logo ada gabungan imej separuh bola dan separuh bunga beserta dedaun pokok alamanda.
Di bahagian bola ada 11 garisan bersambung-sambung yang mewakili 11 daerah di Kedah (termasuk Pokok Sena). 11 juga melambangkan perpaduan tenaga dan kepintaran 11 pemain dalam satu-satu pasukan dalam pertandingan bola sepak.
Penggunaan logo ini mengundang beberapa pertanyaan daripada Ahli Majlis KFA. Mereka mempersoalkan, “Kenapa tiada unsur-unsur padi?”. Menjawab pertanyaan itu, Datuk Paduka Ahmad Basri Akil berkata, “Padi tak selalu hijau dan kuning. Tetapi alamanda sentiasa hijau dan kuning”.
Seiring dengan pengenalan Liga Semi Pro, FAM juga mewajibkan setiap pasukan mempunyai maskot tersendiri. Kedah memilih burung kenari yang sinonim dengan warna hijau dan kuning.
Kuning hijau dan merah juga adalah warna negeri Kedah Darul Aman. Kuning adalah warna di raja rasmi bagi raja memerintah. Hijau menjadi warna rasmi bakal raja manakala merah adalah warna rasmi menteri besar.
Sejarah jersi home Kedah
Rekod gambar terawal jersi pasukan Kedah menunjukkan negeri Jelapang Padi ini memakai jersi berwarna hitam. Pada tahun 1930, Kedah memakai jersi berwarna merah gelap ketika menentang pasukan kelasi kapal perang Inggeris di Alor Setar pada 1930. Kedah menang 5-0 dalam perlawanan tersebut.
Warna merah ini berkekalan sehingga era 1970-an.
Dan yang paling menariknya, sejak era 1950-an lagi Kedah sudah mula menggunakan motif ‘chevron’ (berbentuk huruf ‘V’ di dada) dalam jersi mereka. Motif chevron ini sudah mula dikesan penggunaannya di England sejak 1920-an. Ia membuktikan betapa kuatnya pengaruh bola sepak England di Malaysia – termasuk Kedah – pada ketika itu.
Bercakap mengenai pengaruh rekaan jersi bola sepak England kepada jersi Kedah pada ketika itu, pengumpul jersi retro Kedah, Fatay Al-Ansari berkata:
“Masa zaman dulu, mana ada penajaan jersi kepada pasukan. Jadi pasukan banyak beli sendiri. Contohnya pada 1978, KFA pernah bagi duit kepada pemain mereka Khor Sek Leng (Azraai Khor) untuk pergi ke Singapura dan membeli jersi merah untuk Kedah.
“Masa 1978 itu pula England ada pakai jersi away warna merah. Pengaruh England pula kuat di Malaysia. Jadi KFA suruh coach Azraai cari jersi away England yang merah itu untuk dijadikan jersi home Kedah.
“Kemudian jersi home England pada 1978 yang putih itu pula dijadikan jersi away Kedah,” jelas Fatay.
Inspirasi retro pada rekaan jersi moden
Jika kita lihat pada rekaan jersi home Kedah pada era moden, sudah banyak kali Kedah mengambil inspirasi retro daripada motif chevron yang digunapakai pada era 50-an. Sebagai contoh skuad Kedah 1993 yang menggondol kejuaraan berganda (Piala Malaysia dan Liga Semi Pro Divisyen 1).
Trend motif chevron nyata merupakan motif kegemaran KFA. Kali terakhir motif chevron ini digunakan adalah pada musim 2017 ketika Kedah ditaja oleh AL.
Pada musim 2019, Kedah menggunakan motif belang menegak (vertical stripe) pula untuk rekaan jersi home mereka. Ia sesuatu yang unik kerana jarang-jarang Kedah menggunakan motif belang menegak. Kali terakhir motif belang menegak digunakan di jersi home Kedah adalah pada musim 1998.
Sejarah jersi away Kedah
Jersi away Kedah pula kebanyakannya adalah imej cermin jersi home yang berlainan warnanya. Jika warna dasar jersi home berwarna kuning, warna dasar jersi away akan berwarna hijau dan sebaliknya. Rekaan motif biasanya sama – kecuali pada musim 1987.
Pada musim 1987, Kedah menggunakan rekaan jersi away yang berlainan dengan jersi home.
Selain daripada musim 1987, jersi away Kedah kebiasaannya hanya akan berbeza warna dasar sahaja dengan jersi home.
Pada musim 2017, 2018 dan 2019, AL lari daripada stereotaip ini dengan memperkenalkan jersi away yang warna dasarnya berwarna merah.
Pertukaran warna dasar dari hijau ke merah ini sebenarnya dipengaruhi oleh pertukaran logo dan maskot KFA bermula musim 2015. Kedah yang selama ini dikenali dengan maskot burung kenari kini dikenali dengan maskot burung helang merah.
Manakala logo persatuan yang diilhamkan oleh Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1988 ditukar kepada logo baru. Kali ini logo KFA mempunyai gambar helang merah di bawah moto ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’.
Ketika Warrix dilihat lebih konservatif dengan mengekalkan warna dasar jersi away mereka kekal hijau, AL bertindak lebih berani. Satu-satunya percubaan Warrix untuk keluar dari stereotaip warna hijau sebagai warna dasar jersi away Kedah datangnya pada musim 2016 apabila mereka menggunakan warna putih.
Bercakap mengenai jersi Kedah, kami nak ajak anda meriahkan Football Republic Alor Setar!
Kami nak ajak penyokong Kedah semua untuk sama-sama meriahkan Majlis Pelancaran Jersi HOME dan AWAY musim 2020 skuad Kedah dengan kami, bertempat di Football Republic Jalan Pegawai, Alor Setar.
Bermula jam 10 pagi pada 8 Februari 2020, pelbagai aktiviti dan hadiah menarik akan diadakan seperti pertandingan FIFA 20, foosball, sepakan penalti, jualan tawaran murah jersi musim 2019 dan banyak lagi!
Jumpa anda semua di sana! Sekarang mari kita sambung dengan sorotan sejarah jersi ketiga Kedah pula.
Sejarah jersi ketiga Kedah
Rekaan jersi ketiga sememangnya dikenali sebagai ‘ruang kreativiti’ bagi pengeluar jersi. Dalam rekaan jersi ketiga inilah, pengeluar jersi boleh bereksperimen dengan rekaan, motif dan warna yang baru.
Seperti contoh pada musim 1994, Kedah pernah mengeluarkan jersi ketiga yang meletakkan motif bunga padi di bahagian dada.
AL tidak melepaskan peluang sama untuk menonjolkan rekaan, motif dan warna yang baru untuk Kedah. Pada musim 2017, AL mengeluarkan jersi ketiga berwarna kelabu – kali pertama dalam sejarah jersi Kedah.
Kemudian pada tahun 2019, AL memperkenalkan semula warna dasar hijau di jersi ketiga yang sebelum ini sinonim dengan warna jersi away.
Dan untuk musim 2020 akan datang, AL ‘mengganas’ semula di medium rekaan jersi ketiga. Kali ini, AL memperkenalkan motif kotak yang sinonim dengan jersi Croatia. Untuk warna pula, AL menggunakan semua warna yang pernah digunakan Kedah sebelum ini – putih, hijau, kuning dan merah.
Jersi yang digunakan untuk saingan AFC Champions League 2020 itu mengundang pendapat yang berpolarisasi daripada penyokong Kedah. Ada yang sangat menyukainya dan ada yang langsung tidak menyukainya. Tiada pendapat ‘atas pagar’.
Tetapi walau apa pun rupa jersi Kedah, satu perkara yang semua penjual jersi pasti setuju adalah – jersi Kedah barang laku. Fatay yang sudah mengkaji sejarah jersi Kedah sejak zaman 70-an memberitahu, “Jersi Kedah memang sejak dari zaman dahulu agak ke hadapan sedikit berbanding jersi negeri lain.”
“Dari segi permintaan di pasaran, jersi Kedah memang senang terjual kerana kemajuan rekaan dan teknologinya,” jelasnya lagi.
Bagi kami, Fatay terlupa satu perkara lagi: jersi Kedah senang terjual kerana tahap kesetiaan dan kefanatikan penyokongnya yang ke hadapan sedikit berbanding penyokong negeri lain.