Arab Saudi sebelum ini mengumumkan bahawa wanita dibenarkan untuk datang ke stadium bola sepak. Ianya dasar yang disambut baik ramai wanita di Arab Saudi yang meminati bola sepak.
Pada Jumaat lalu dalam perlawanan Al-Ahli menentang Al-Batin di Jeddah, ramai wanita memasuki stadium dan duduk di seksyen duduk untuk keluarga. Hari yang sama, kedai jual kereta menerima tempahan daripada kaum hawa di negara tersebut.
Di stadium di Jeddah, wanita telah bersama-sama bersorak untuk pasukan yang mereka sokong bersama ahli keluarga mereka.
Rata-rata wanita memakai pakaian tradisional Arab, abaya berwarna hitam dan sopan.
Di twitter, hastag yang berkaitan dengan ucapan selamat datang kepada wanita Arab Saudi ke Stadium telah digunakan lebih 10,000 kali dalam tempoh perlawanan itu berlangsung.
Lamya Khaled Nasser, wanita dari Jeddah memberitahu AFP yang beliau gembira dan berbangga dapat merasai pengalaman menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium serta melihat perubahan bersejarah itu. Lamya berkata:
“Dasar ini adalah petanda yang kita (Arab Saudi) menuju ke arah masa depan yang lebih baik. Saya berbangga untuk menyaksikan perubahan besar ini.”
Seorang lagi wanita dari Jeddah, Ruwayda Ali Qasem pula berkata:
“Satu hari bersejarah untuk ‘Kingdom’ yang menjadi fundamental kepada perubahan. Saya sangat bangga dan gembira dengan perubahan yang dilakukan Kingdom (Saudi) untuk terus bergerak seiring dengan tamadun di negara lain.”
Selepas perlawanan pertama itu, Kerajaan Saudi ternyata berpuas hati dengan apa yang berlaku kerana wanita yang datang ke stadium mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Begitu juga dengan pihak pengurusan stadium yang menyediakan lorong khas untuk wanita. Ianya dijaga dengan sangat baik oleh petugas-petugas wanita.
Mereka berbesar hati untuk melihat wanita mereka terus bergembira dan datang ke stadium untuk perlawanan pada Sabtu dan Khamis minggu seterusnya.
Namun begitu, mereka tetap mengenakan peraturan wanita perlu ditemani lelaki yang merupakan ahli keluarga mereka ataupun suami untuk datang ke stadium.
Pemodenan dasar ini adalah hasil daripada idea Putera Mahkita Mohammed bin Salman. Baginda bertitah sebelum ini untuk menjadikan Arab Saudi lebih terbuka dalam beberapa dasar berkaitan wanita.
Baginda juga bertanggungjawan dalam menggubal dasar untuk membenarkan wanita ke panggung wayang.