Penyerang import Terengganu, Ivan Mamut kini menjadi antara pemain yang dikritik hebat dalam kalangan penyokong ekoran ketajamannya masih lagi belum terbukti selepas tiga perlawanan dihadapi.
Tampil buat pertama kali di Malaysia, segalanya tampak masih belum menjadi buat penyerang tinggi lampai itu untuk membuktikan sesuatu positif di barisan hadapan Terengganu.
Welcome Ivan Mamut 🏴🏳️#TerengganuFC pic.twitter.com/WIxC1FCtfP
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 4, 2023
Disebabkan itu, Mamut sendiri mengakui rasa kecewa mengenai prestasinya di hadapan gol dan tekad untuk beraksi lebih baik pada perlawanan akan datang bagi mendapatkan gol.
Apatah lagi, Mamut juga sedar tugasnya selaku penyerang utama Terengganu itu sangat besar dan mempunyai tanggungjawab tinggi untuk mendapatkan gol buat pasukan.
“Sejujurnya saya sedikit kecewa selepas gagal menjaringkan gol selepas tiga perlawanan, apatah lagi tugas itu terletak di bahu saya bersama rakan penyerang.
“Tapi sebagai pemain saya tidak akan putus asa sebaliknya terus bekerja keras untuk mendapatkan jaringan dan kemenangan kerana saya sedar bukan kami sahaja mahukan kejayaan malah peminat juga pasti dahagakan kemenangan, sokongan padu daripada peminat sentiasa ditagih.
“Justeru jika masih lagi diberikan peluang beraksi menentang PDRM FC, saya akan buktikan, lagipun saya percaya rakan sepasukan sentiasa berdisiplin dalam setiap perlawanan selain kami jadikan kesilapan pada aksi sebelum ini sebagai pengajaran untuk kami perbaiki kelemahan itu,” kata penyerang tersebut menerusi Harian Metro.
Selamat Datang Ivan Mamut! 🏴🏳️#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/SOHn5u56Um
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 4, 2023
Selain Mamut, seorang lagi penyerang Terengganu iaitu Adisak Kraisorn juga masih lagi belum menemui sentuhan gol musim ini daripada tiga perlawanan dihadapi bersama pasukan tersebut.
Adisak boleh dianggap sebagai salah satu pemain paling mencuri tumpuan, selepas beliau ditandatangani oleh Terengganu pada musim ini untuk kuota Asean.
Memiliki kualiti penyudah yang sangat bagus bersama skuad kebangsaan Thailand, pastinya impak positif turut ditagih para penyokong untuk membentuk gandingan bersama Mamut di posisi penyerang.
Walaupun begitu, Adisak juga memiliki situasi yang sukar seperti Mamut untuk mendapatkan gol, dan mengakui sudah berusaha sehabis baik demi menggembirakan penyokong.
Tetapi, penyerang tersebut juga tetap meletakkan keyakinan masanya untuk menemui sentuhan gol akan tiba pada masa akan datang.
“Jika diturunkan jurulatih menentang PDRM FC pada Sabtu ini, saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjaringkan gol sekali gus membantu pasukan merakam kemenangan pertama pada musim ini.
“Namun bola sepak adalah aksi berpasukan, tidak semestinya saya yang menjaringkan gol, jika rakan sepasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, pasti mereka pun mampu mencetak namanya sebagai penjaring, yang penting adalah tiga mata terutama beraksi di tempat sendiri.
🏴🏳️ ADISAK #TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/a7l4doHlcM
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 26, 2023
“Lagipun bukan sahaja peminat mahukan kemenangan, kami pun sama, saya percaya rakan sepasukan juga sentiasa berusaha untuk melakar kemenangan sekali gus sebagai penawar pasukan,” kata Adisak.