“Sedang Sibuk Struktur Semula” – Kenapa Pisang Selalu Berbuah Dua Kali Di Melaka United?

Sedang di dalam proses penstrukturan semula pentadbiran dan kewangan menjadi alasan Melaka United gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai kelab itu pada musim lalu.

Perkara itu disahkan oleh kelab tersebut melalui satu kenyataan media ringkas yang dimuat naik di rangkaian media sosial rasmi kelab itu sebentar tadi.

Isu kelewatan pembayaran gaji pemain bukan pertama kali berlaku di Melaka United. Malah pada Mac tahun lalu, Melaka United menjadi pasukan Liga Super pertama pada musim tersebut yang menerima hukuman pemotongan mata disebabkan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Jika disingkap kembali, isu kegagalan kelab tersebut gagal melunaskan pembayaran gaji mengikut jadual yang ditetapkan turut berlaku sejak 2016 dan 2019.

Kes terbaru

Melaka United sekali lagi menarik perhatian kerana kegagalan membayar gaji selepas pendedahan terbaru bekas pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari baru-baru ini.

Menurut Khairul Helmi kelab tersebut berhutang selama empat bulan gaji. Menurut Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), melalui satu kenyataan pada hari ini, tunggakan gaji tersebut bukan sahaja melibatkan skuad utama, tetapi turut melibatkan skuad Piala Presiden.

Perkara tersebut mendorong PFAM untuk menghantar Notis Tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2022.

Apa pun alasan yang diberikan oleh Melaka United apabila perkara yang sama berulang kali berlaku, natijah dan akibatnya hanya ditanggung oleh pemain.

Apakah tindakan FAM?

Sebagai badan induk bola sepak negara kami yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab memberikan pelesenan kelab mengambil maklum akan perkembangan terbaru ini.

Kami juga yakin tindakan susulan akan turut dilakukan jika Melaka United terus gagal melunaskan gaji-gaji pemain ini.

Persoalannya apakah tindakan badan itu untuk memastikan perkara tersebut tidak terus berulang?

Satu perkara yang pasti perkara sama akan terus berulang saban musim sekiranya tiada tindakan tegas dan drastik dikenakan – seperti menggantung terus lesen pertandingan selepas beberapa amaran.

Di pihak Malaysian Football League (MFL) pula pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) juga wajar dipersoalkan sehingga menyebabkan masalah pembayaran gaji sentiasa berulang.

Apa tidaknya, di sebalik masalah pembayaran gaji pemain pada musim lalu, Melaka United dilihat sedang giat merekrut muka baharu untuk saingan musim hadapan.

Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin ketika masih bergelar Presiden MFL pada 2020 berkata peraturan baharu yang diperkenalkan pada musim Liga Malaysia 2020 terebut adalah bagi memberikan tumpuan kepada aspek peraturan kewangan untuk mengawal dan mendidik pasukan berbelanja secara berhemah.

Selain itu antara tujuan pelaksanaan ECP di Liga Malaysia oleh MFL juga bertujuan menangani masalah kewangan pasukan, khususnya hutang dan tunggakan gaji pemain.

Bukanlah mahu menafikan segala usaha FAM dan MFL dalam menangani isu gaji di Liga Malaysia selama ini. Malah harus diakui usaha MFL dan FAM teah berjaya mengurangkan isu tunggakan gaji di Liga Malaysia berbanding apa yang berlaku empat atau lima musim yang lalu.

Tetapi apa yang berlaku di Melaka United membuktikan tindakan yang lebih agresif perlu diambil. Jika tidak, ia ibarat ‘menghalalkan’ perkara yang salah, dan isu tunggakan gaji di Liga Malaysia tidak akan berakhir kerana akan menjadi amalan normal di kalangan kelab bertanding.

Kita mahu Liga Malaysia dilihat sebagai liga profesional yang dipandang tinggi oleh pelbagai pihak. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN