Ianya bukan sekadar promosi biasa buat Leeds United. Setelah 16 tahun, Marcelo Bielsa berjaya membawa The Whites kembali ke saingan tertinggi, Premier League.
Penantian yang cukup lama buat pasukan dan juga para penyokong. Dan hari ini pula, mereka disahkan selaku juara Championship. Atas jasa pengendalinya, sebuah jalan di tengah bandar Leeds telah dinamakan semula kepada ‘Marcelo Bielsa Way’.
Hadiah berganda
Kekalahan West Bromwich Albion 1-2 kepada Huddersfield Town pada awal pagi semalam telah mengesahkan tempat mereka ke Premier League dan kekalahan 0-1 Brentford kepada Stoke City menghadiahkan mereka kejuaraan liga.
Selepas sorakan semalam, hari ini penyokong mereka melonjak kegembiran yang pastinya menggegar seluruh bandar Leeds atas kejayaan yang diraih daripada kekalahan pesaing mereka untuk meraih promosi automatik ke Premier League.
Mereka hampir meraih promosi pada musim lalu – musim pertama Marcelo Bielsa menguruskan pasukan, namun ianya gagal direalisasikan pada saat akhir apabila terpaksa beraksi di pusingan play-off dan kemudian kalah kepada Derby County.
Bielsa telah dirai oleh penyokong Leeds United dengan pelbagai cara sehingga ada yang meraikannya di depan rumah Bielsa sendiri. Malah BBC Sport turut mengeluarkan video khas dengan tajuk, ‘Marcelo, We love you. More than you’ll ever know.’
Marcelo Bielsa Way
Selain itu, sebuah pusat membeli-belah telah menukar nama mereka kepada Trinity Leeds United untuk tempoh sebulan bagi meraikan kejayaan bersejarah ini dan turut menamakan semula jalan yang menghubungkan Trinity Leeds dan Commercial Street.
Jalan tersebut telah ditukarkan nama kepada Marcelo Bielsa Way pada Sabtu dan papan tandanya pula dijadualkan akan dinaikkan pada minggu hadapan.
Pengarah pusat membeli-belah tersebut, David Maddison berkata kepada pihak media, “Ini merupakan saat yang menakjubkan untuk bandar ini dan kami berbangga dapat berkongsi bersama keraian Leeds United kembali ke Premier League.”
“Kepantasan pengurus itu menukar nasib pasukan daripada sebelum ini mengikut caranya tersendiri – the Bielsa way – melayakkan dirinya dengan semua pujian dan kami sangat gembira untuk menamakan semula jalan ini, Marcelo Bielsa Way,” tambahnya.
Estadio Marcelo Bielsa
“Penukaran nama jalan ini adalah untuk selamanya sebagai kenang-kenangan buat para penyokong dan juga mana-mana pelawat daripada kampung halamannya di Argentina, akan kejayaan menakjubkan pasukan ini,” jelas Maddison lagi.
Selain jalan tersebut, nama Marcelo Bielsa turut diabadikan oleh kelab lama kendaliannya di Argentina, Newell Old Boys menerusi nama stadium mereka, Estadio Marcelo Bielsa yang terletak di bandar Rosario, Argentina.
Bielsa merupakan pemain pertahanan dan kemudian dilantik menjadi pengurus Newell Old Boys pada tahun 1990 hingga 1992 dengan beberapa kejuaraan utama diraih sebelum berhijrah menyertai beberapa pasukan lain di Argentine Primera Division.
Pengendali yang digelar bapa taktikal moden itu dikenali dengan pendekatan drastik dan tegas telah membantu mengubah nasib pasukan. Beliau juga menjadi rujukan beberapa pengendali ketika ini antaranya Mauricio Pochettino dan Diego Simeone.
Penutup
Stadium dan kemudian nama jalan, apa lagi yang Marcelo Bielsa akan dapat selepas ini? Namanya kini terpahat di dua bandar, di dua benua. Tidak dinafikan, namanya akan terus berkumandang di telinga semua peminat bola sepak untuk beberapa ketika.
Namun, apa yang diraihnya bersama Leeds United ketika ini akan lebih teruji pada musim depan di Premier League. Adakah mereka sudah bersedia untuknya?
KREDIT FEATURED IMAGE: LEEDSLIVE