Kedah Darul Aman FC bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada esok malam di Iskandar Puteri, namun tiba-tiba isu tunggakan LHDN muncul.
Pendedahan ini telah dilakukan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi satu ciapan di Twitternya pada sebelah petang tadi.
“Pasukan Kedah yang dilanda kemerosotan prestasi ketika ini didedahkan punyai masalah dalaman membabitkan isu cukai LHDN hingga menjejaskan pergerakan beberapa staf kejurulatihan dan pemain import ke luar negara.”
Twitter Zulhelmi Zainal Azam
Dikatakan Kedah yang dilanda masalah prestasi pada ketika ini mempunyai tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM3.15 juta berdasarkan perkongsian sekeping surat bertarikh 24 Ogos oleh Zulhelmi. Begitupun tidak dikongsikan sama ada ia telah diselesaikan.
Berdasarkan kenyataan Zulhelmi, tunggakan itu menyebabkan pergerakan beberapa staf kejurulatihan dan pemain import ke luar negara terjejas.
Sebagaimana yang kita tahu, Sang Kenari terlibat dengan saingan Piala AFC di Indonesia ketika peringkat kumpulan diikuti separuh akhir Piala AFC Zon Asean menentang PSM Makassar pada bulan Jun dan Ogos lalu.
Selain itu, turut dilihat pengendali, Aidil Sharin Sahak pulang ke Singapura pada September termasuk Mahmoud Al-Mardi yang pulang untuk tugasan antarabangsa bersama Jordan, juga pada bulan September yang lalu.
Penangan Menang Derbi Utara, Aidil Sharin Terus Pulang Ke Singapura
Tidak dapat dipastikan sama ada pergerakan pengendali dan pemain-pemain Kedah terjejas. Hanya terdapat satu kes di mana penyerang import, Ngah Wanja yang terpaksa ‘terbang’ lewat sehari ke Indonesia ketika saingan Piala AFC, dikatakan akibat masalah visa penerbangan.
Adakah terdapat rundingan antara pihak pengurusan Kedah dan LHDN?
Berdasarkan butiran surat tersebut, ia mungkin telah dikeluarkan LHDN atas sebab pertemuan dengan wakil pasukan pada hari tersebut untuk membincangkan masalah tunggakan tersebut. Tunggakan adalah untuk tempoh setahun bermula pada Julai 2021 sehingga Julai 2022.
Jadi, penyelesaian yang diperolehi adalah Kedah harus menjelaskan bayaran pendahuluan selama tiga bulan bermula Ogos sehingga Oktober berjumlah RM600,000 sebelum memulakan bayaran ansuran sebanyak RM150,000 sebulan sehingga bulan April 2024.
Terdapat kemungkinan bayaran telah mula dijelaskan oleh pengurusan pasukan selepas pertemuan dengan LHDN pada tarikh surat tersebut dikeluarkan. Ia bagi memudahkan urusan pergerakan ke luar negara seperti Aidil Sharin yang pulang ke Singapura pada September.
Begitupun, kita masih menanti penjelasan penuh daripada Kedah berhubung isu yang secara tiba-tiba muncul sebelum mereka bertemu JDT. Adakah ini akan mengganggu tumpuan pasukan?
Kedah akan bertemu juara Liga Super 2022, JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada esok malam untuk aksi kedua terakhir liga musim ini.