Pemain import baharu Negeri Sembilan iaitu Sebaastian Avanzini tidak mengambil masa yang lama untuk memberi kegembiraan buat para penyokong tersebut pada aksi sulungnya ketika bertemu Penang.
Terdahulu, Avanzini secara rasminya telah pun diperkenalkan oleh Negeri Sembilan selaku tonggak import baharu yang akan beraksi di posisi tengah bagi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Seperti diketahui, jentera tengah skuad Hoben Jang Hoben antara yang memiliki masalah pada musim ini dengan mereka terlalu banyak bergantung kepada Jacque Faye untuk menggerakan segalanya.
Avanzini yang mempunyai rekod positif bersama Kuala Lumpur City (KL City) dianggap sebagai pemain terbaik untuk Negeri Sembilan kini jika dilihat pada reputasi dibawa beliau musim lalu.
Untuk saingan lalu, pemain dari Itali ini telah beraksi sebanyak 32 perlawanan serta meledak dua gol bersama empat bantuan jaringan secara keseluruhan.
Aspek utama Avanzini bukan terarah kepada jumlah jaringan, tetapi menerusi tugas beliau selaku pemain tengah bertahan yang menjalankan tugas begitu baik untuk mematikan ancaman lawan lebih awal.
Ianya dibuktikan dengan baik pada aksi terbaharu ketika pemain berusia 29 tahun itu dibawa turun buat kali pertama ketika mereka menghadapi cabaran Penang di gelanggang lawan.
Pada aksi tersebut, Avanzini boleh dikatakan bergerak di serata kawasan untuk membantu rakan sepasukan selain membentuk kombinasi ampuh bersama Jacque untuk mengekang pergerakan tuan rumah di posisi tengah.
Kelebihan yang bakal diperoleh Negeri Sembilan bukan sahaja kepada kualiti Avanzini di posisi tengah, malah beliau juga memiliki keupayaan selaku pertahanan tengah mengikut kesesuaian taktikal.
Lebih menarik, Avanzini juga memiliki keupayaan cukup tinggi untuk menjaringkan gol dari jarak jauh dan ia sudah dibuktikan pada salam pengenalan musim ini bersama Penang.
Pendek kata, Avanzini boleh dianggap sebagai kepingan ‘puzzle’ yang terakhir untuk memperbaiki aspek kelemahan utama pasukan tersebut sejak awal musim.
Selain pemain tersebut, laporan kami terima menyatakan Negeri Sembilan juga berkemungkinan akan memperkenalkan seorang lagi penyerang import baharu untuk menggantikan posisi ditinggalkan oleh Miguel Angel Junco Martinez.
Aksi lalu menyaksikan Negeri Sembilan berjaya mengikat Penang menerusi keputusan seri 2-2 dan kekal berada di tangga ke-12 carta Liga Super musim ini di atas Kelantan Darul Naim (KDN).