Perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 diantara Perak dan Terengganu baru-baru ini penuh dengan aksi, emosi dan drama.
Mana tidaknya. Dalam perlawanan menarik tersebut, kita disajikan dengan ‘pakej’ lengkap dengan gol seawal minit pertama dari Terengganu. Kemudian pada minit-minit terakhir perlawanan, Perak meranapkan impian skuad Sang Penyu sebanyak 2 kali – iaitu di hujung masa perlawanan sebenar dan masa tambahan.
Tidak cukup itu, perlawanan ini juga menyaksikan 2 kad merah telah dilayangkan. Untuk melengkapkan drama lagi, kita disajikan pula dengan debaran aksi penentuan sepakan penalti.
Namun, antara perkara lain yang mencuri tumpuan ketika perlawanan itu sudah semestinya pengadil. Beberapa keputusan penting dalam perlawanan yang dibuat oleh pengadil sememangnya mengundang kontroversi dan boleh dipertikaikan.
Namun harus diingat, pemilihan pengadil untuk perlawanan akhir sebegitu telah diadakan secara teliti dan teratur. Jawatankuasa Pengadil FAM yang dipengerusi oleh Subkhiddin Salleh pastinya telah mempertimbangkan banyak faktor; faktor seperti negeri asal pengadil, prestasi/kecergasan semasa pengadil dan pengalaman mengadili tugasan antarabangsa/FIFA.
Jadi apabila seseorang pengadil dipilih, pastinya pengadil yang terpilih itu merupakan yang terbaik dari yang terbaik berdasarkan keadaan dan situasi semasa.
Tetapi kita tidak boleh menafikan persembahan ketua pengadil – bersama pembantu pengadil – pada malam itu berada dibawah tahap yang dikehendaki. Apatah lagi untuk perlawanan bermagnitud besar dan berprestij seperti final Piala Malaysia.
Tetapi persoalannya sekarang – adakah kita bersikap adil dalam menilai persembahan mereka pada malam itu sahaja untuk melenyapkan terus kredibiliti mereka sebagai pengadil?
Dari mata pemain
Mengkritik pengadil memang mudah. Tetapi pernahkah anda membuat keputusan penting dalam masa singkat ketika dikelilingi oleh puluhan ribuan manusia yang bersedia untuk memaki anda pada bila-bila masa anda membuat kesilapan?
Cuba bayangkan situasi kita sebagai seorang pemain didalam padang. Sudah semestinya kita akan melakukan apa sahaja untuk memberikan kemenangan kepada pasukan kita? Termasuklah menipu, bukan?
Ketika mengadili perlawanan, inilah yang perlu dihadapi oleh pengadil; simulasi, lakonan, provokasi (dalam dan luar padang) dan teriakan pemain-pemain untuk mempengaruhi keputusannya.
Tak cukup dengan itu, hakikat yang mereka perlu berlari lebih jauh daripada pemain juga perlu dipertimbangkan kita sebelum mula mengkritik. Ditambah lagi dengan masa tambahan 30 minit dan rehat yang singkat berbanding pemain, ia bukanlah kerja untuk sembarangan manusia.
Maka tak hairanlah – lambat-laun – pengadil akan melakukan kesilapan dalan sesuatu perlawanan. Sedangkan pengadil terbaik dunia pun tidak mampu mengelak dari melakukan kesilapan. Apatah lagi pengadil tempatan kita. Lumrahlah manusia yang tidak mampu lari dari kesilapan.
Semua orang mahu menang. Tiada siapa mahu kalah dalam bola sepak. Apabila deruan adrenalin deras mengalir dalam badan pemain, mereka akan mengorbankan segalanya; baik keringat, darah, badan – dan kadangkala prinsip moral mereka sendiri – untuk mendapatkan kemenangan untuk penyokong.
Kerja sebagai pengadil adalah kerja yang paling tidak dihargai dalam bola sepak. Apabila anda melakukan kerja yang bagus, tiada siapa akan memberikan penghargaan. Tetapi di saat anda membuat kesilapan, andalah manusia paling teruk di dunia. Hanya manusia kuat (dan bodoh) sahaja mahu menjadi pengadil.
Dari mata pengadil
Seseorang pengadil yang telah terpilih sudah semestinya mahu menggalas tanggungjawab tersebut dengan sehabis baik. Bagi pengadil, peluang mengadili perlawanan besar di peringkat tertinggi yang menjadi perhatian peminat bola sepak merupakan penghormatan tertinggi.
Satu perkara yang ramai peminat bola sepak sering lupa tentang bola sepak adalah – ia bukanlah sukan yang objektif. Sebaliknya ia sukan yang subjektif – terutamanya dalam aspek kepengadilan.
Oleh kerana sifat subjektif inilah, sesuatu keputusan itu boleh menjadi pertikaian – salah ataupun betul?
Anda bayangkan, pengadil perlu buat keputusan pantas terhadap sesuatu perkara ketika dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti penat, tekanan dari pemain, penyokong, staf pasukan, jurulatih.
Tiada jaminan pengadil mampu memberi keputusan tepat 100% pada setiap masa. Ini kerana selagi kita menggunakan manusia sebagai pengadil, kita akan kembali ke fitrah alam iaitu – manusia sentiasa khilaf.
Dari mata peminat
Tamat sahaja perlawanan, hanya satu pasukan yang akan bergelar sang juara. Apabila keputusan yang perlu dilakukan mempengaruhi hanya sebelah pihak, peminat yang berhabis wang ringgit, tenaga dan masa ini pastinya tidak akan berpuas hati jika pihaknya tewas.
Apatah lagi tewas dengan ‘bantuan’ si pengadil.
Adat peminat – emosi merupakan sebahagian daripada bola sepak. Jika keputusan pemgadil tidak menyebelahi pasukannya, apa sahaja yang dilakukan oleh pengadil pastinya akan kelihatan ‘tidak kena’ di mata.
Adalah penting bagi pengadil tersebut untuk mengenalpasti suasana dan ‘suhu’ perlawanan agar terkawal untuk cuba memuaskan hati semua pihak – walaupun mustahil.
Bola sepak merupakan permainan yang semakin hari semakin berevolusi. Adalah sukar untuk semua pihak – baik pemain, pengadil dan apatah lagi peminat – untuk menguasainya 100%. Namun setidak-tidaknya, setiap pihak perlu mempunyai kesedaran untuk belajar dan beradaptasi demi mewujudkan komuniti bola sepak yang unggul.
Bola sepak tanpa drama
Apa yang pasti, permainan bola sepak sentiasa akan disaljikan dengan drama demi drama. Kita mungkin boleh memperkenalkan teknologi demi teknologi untuk ‘mengurangkan’ drama ini. Tetapi selagi manusia terlibat dalam aspek kepengadilan, bola sepak sentiasa akan dipenuhi drama.
Tetapi sebagai manusia, adalah penting untuk kita kekal beradab dan bertatasusila ketika drama-drama ini ‘dicampak’ ke muka kita. Apabila hidup kita dikelami drama kekecewaan seperti yang dialami penyokong Terengganu atau diwarnai drama kegembiraan seperti yang dialami penyokong Perak, kita perlu menghadapinya dengan adab dan tatasusila. Kerana adab dan tatasusila itulah yang membezakan manusia dengan haiwan.
Menjadi peminat bola sepak memang mudah. Tetapi untuk menjadi seorang peminat yang berpengetahuan, tidak semua akan mampu melakukannya.
Artikel ini disumbangkan oleh Faiez Tajudin, seorang pemain, pengadil dan peminat bola sepak dari Kedah. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel (minimum 300 patah perkataan) anda dalam format MS Word ke [email protected].