Apakah Sebab Utama Pemain Bola Sepak Menutup Mulut Ketika Berkomunikasi?

Dalam sesebuah perlawanan bola sepak, pasti terdapat momen-momen menarik yang berlaku sepanjang perlawanan berlangsung.

Pernahkah anda melihat situasi pelik yang terakam oleh lensa kamera dimana ada pemain atau pengurus berkomunikasi dengan cara bercakap sambil menutup mulut ?

Perilaku pelik ini sering dilihat dalam perlawanan sehingga telah menimbulkan banyak andaian serta persoalan dari para peminat.

Setiap gerak geri diperhatikan

Pada hari ini, pemain bola sepak diibaratkan selebriti. Mereka mempunyai jutaan peminat dari serata dunia.

Cristiano Ronaldo misalnya, memiliki 143 juta pengikut di laman Instagram.

Jumlah ini membuktikan kehidupan pemain-pemain bola sepak profesional pada hari ini sentiasa diperhatikan. Gerak-geri mereka diikuti di mana sahaja.

Apa yang mereka pakai, kereta apa yang mereka pandu, jenama pakaian pilihan mereka, malah tutur kata mereka turut menjadi perkara yang peminat bola sepak ingin ketahui.

Bermula dari rancangan TV

Menurut Hall, tindakan menutup mulut sambil bercakap ini mula dipraktikkan oleh bintang bola sepak selepas melihat beberapa rancangan TV popular di Amerika (Bad Lip Reading).

“Ia bermula dari beberapa rancangan stesen TV di Amerika Selatan.”

“Sebuah program komedi meniru gerakan bibir para pemain dibangku simpanan.”

“Mereka (penonton) juga boleh membaca gerakan bibir dengan cuba untuk meneka apa yang dibualkan oleh para pemain yang berada di bangku simpanan.”

Komunikasi rahsia?

Antara sebab utama pemain-pemain atau pengurus berbisik sambil menutup mulut mereka ialah demi kerahsiaan taktikal pasukan.

Anda pasti pernah melihat bagaimana ketika dalam permainan, pengurus atau pemain membisikkan sesuatu sesama mereka sambil menutup mulut.

(Photo credit should read IAN KINGTON/AFP/Getty Images)

Ini adalah untuk mengelakkan pergerakkan bibir mereka dibaca oleh pihak-pihak tertentu yang memungkinkan maklumat taktikal disalurkan kepada pasukan lawan.

Di era teknologi moden serba canggih ini, apa sahaja boleh berlaku. Setiap pasukan akan cuba menggunakan kelebihan yang ada untuk memburu kemenangan.

Jika anda boleh mengetahui taktikal pihak lawan, bukankah ianya adalah kelebihan untuk pasukan anda untuk menghalang gerakan lawan dan mencipta kemenangan?

Elak jadi bahan sensasi media

Di kejohanan Piala Dunia 2014, tingkah laku beberapa pemain Brazil di atas padang dengan bercakap sambil menutup mulut telah mendapat liputan meluas oleh media.

Pengendali Brazil ketika itu, Luiz Fellipe Scolari menjelaskan alasan utama pemain-pemainnya melakukan tindakan pelik itu dalam temubualnya bersama BBC pada (26 Okt 2014).


Menurut Scolari, beliau sebenarnya mahu menghentikan tindakan beberapa stesen televisyen tempatan yang sebelum ini gemar membuat liputan tidak masuk akal sehingga menggangu para pemain.

Beliau meminta setiap pemainnya supaya tidak bercakap secara terbuka agar menghadkan pandangan yang tidak diingini dalam setiap berbualan mereka.

Situasi ini jelas dapat dilihat dalam perlawanan Brazil bertemu Cameroon yang menyaksikan mereka terpaksa melindungi mulut dengan tangan serta berpaling arah dari kamera.

Scolari secara terbuka mengkritik beberapa saluran media yang membuat liputan kepada pasukan Brazil semasa kejohanan Piala Dunia berlangsung.

Beliau mengatakan bahawa media gemar memutar belitkan perbualan dengan membuat andaian sendiri yang menyatakan percakapan tersebut adalah mengenai perkara-perkara yang buruk dan negatif.

Kemudian rancangan TV akan menjadikan ia sebagai bahan berita sensasi semata-mata mahu menaikkan populariti saluran tersebut.

Elak spekulasi dan kontroversi

Bekas penjaga gol Brazil, Jefferson turut memberikan alasan yang sama dalam penjelasan beliau.

Beliau menjelaskan bahawa hampir kebanyakan pemain bola sepak akan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan dan kasar di atas padang.


Perkara sebegitu boleh menjejaskan reputasi seseorang pemain bintang yang berpengaruh.

“Sebenarnya ini bukan arahan dari jurulatih.” jelas Jefferson dalam temubual bersama BBC.

“Kami (pemain) sudah menyedari situasi ini. Sebab itu kami memilih untuk menutup mulut kami.”

(Photo by Chris Brunskill Ltd/Getty Images)

“Kadang-kadang apa yang keluar dari mulut kami adalah perkara normal.”

“Tetapi (mereka) beberapa rancangan TV memutar belitkan hal tersebut dan menjadikan ianya satu hal yang besar.”

Pendengaran yang lebih jelas

Bagaimanapun, perunding PR (Public Relations), Phil Hall yang pernah bertugas dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris telah memberikan padangan berbeza dalam temubualnya dengan The Sun.

Beliau menjelaskan bahawa tiada pemain yang dilarang supaya tidak boleh bercakap secara terbuka mengenai taktikal pasukan.


“Seorang pemain pernah memberitahu saya salah satu sebab utama yang mereka lakukan adalah kerana ia adalah cara berkomunikasi dengan baik.”

“Kadangkala anda terpaksa melakukannya apabila anda dekat dengan seseorang, ia dapat menguatkan suara anda supaya mereka dapat mendengar anda secara jelas.”

“Terdapat banyak bunyi di sekeliling mereka di stadium dan di atas padang, mereka perlu menguatkan suara.”


Tambah Hall lagi, “Dalam keadaan suasana yang kuat, apabila anda bercakap secara normal bunyi itu akan tersebar (tidak jelas).

“Ia seperti trompet, jika anda meletakkan tangan anda ke mulut anda dan menunjukkan kepada orang yang anda bercakap dengannya  ia akan kedengaran lebih jelas.”

Penutup

Setiap kata-kata yang terpantul keluar dari mulut manusia membawa seribu satu andaian terutama jika ia datang dari pemain bintang dan berpengaruh.

Oleh itu, hanya melakukan tindakan seperti bercakap sambil menutup mulut adalah cara terbaik bagi mereka mengelakkan diri dari masalah, seperti yang dinyatakan di atas.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN