Bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf mahu Mohamed Salah terima hakikat tidak akan mendapat kontrak dengan gaji yang selayaknya kerana dirinya seorang warga Afrika.
Penyerang Mesir tersebut masih gagal memuktamadkan rundingan kontrak baharu bersama Liverpool dengan kontrak semasanya akan tamat pada musim panas 2023 akan datang.
Diouf tanpa berselindung mengingatkan Salah bahawa beliau tidak akan mendapat permintaan gaji yang dimahukan.
Bagaimanapun bekas penyerang Senegal itu menggesa agar Salah terus kekal di kelab England tersebut kerana berpeluang untuk memperoleh lebih banyak kejuaraan meskipun terdapat laporan mengenai minat yang ditunjukkan oleh Real Madrid dan Barcelona.
#Liverpool star #Salah will never get what he deserves because he is African, Diouf claims amid contract drama #LFC https://t.co/JyleMMgN1i pic.twitter.com/HP8IBF9jyU
— Chris Burton (@Burtytweets) March 27, 2022
“Jadi jelas kenapa Liverpool perlu pertimbangkan permintaan Salah, dia adalah pemain terbaik di sana” ujar Diouf kepada beIN Sports.
“Jika saya jadi Salah, saya akan kekal di Liverpool. Dia boleh peroleh gaji lebih besar memandangkan dia pemain terbaik di kelab itu di samping [Sadio] Mane dan bersamanya mereka boleh menang lebih banyak trofi.
“Dia baru berusia 29 tahun dan saya cakap dengannya dia boleh bermain empat tahun lagi bersama The Reds. Perpindahan ke Real Madrid bermakna dia perlu bermula dari awal.”
Pengurusan Liverpool sememangnya berusaha untuk mengikat Salah dengan kontrak baharu, tetapi permintaan gaji oleh penjaring terbanyak kelab tersebut menjadi punca kata sepakat gagal dicapai.
“Salah kena sedar yang dia orang Afrika, jadi mereka tak akan layan dia macam pemain Eropah dan mereka tidak akan berikannya kontrak terbaik seperti mana yang lain,” tambahnya lagi.
“Perkara yang sama berlaku kepada saya semasa saya di Liverpool, mereka beritahu saya supaya jangan pulang negara saya untuk main dengan skuad kebangsaan.”
Salah muncul salah seorang penyerang prolifik di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak kembali ke England pada 2017 dan telah menjaringkan lebih 150 gol untuk Liverpool.
Beliau juga telah membantu The Reds menamatkan kemarau kejuaraan liga selain menjualang trofi Liga Juara-Juara Eropah di Anfield.