Bintang muda dan pemain tengah Manchester United, Scott McTominay akhirnya memilih Scotland untuk meneruskan karier bola sepak di peringkat antarabangsa.
Pemain tengah produk akademi bola sepak Manchester United ini dilaporkan telah bertemu dengan Ketua Jurulatih Scotland, Alex McLeish di pusat latihan Manchester United, Carrington pada Khamis lalu sebelum memuktamatkan negara pilihannya.
Walaupun Gareth Southgate turut dilaporkan akan bertemu dengan pemain berusia 21 tahun ini di lokasi yang sama pada hari berikutnya, laporan oleh BBC menyatakan pertemuan tersebut akhirnya tidak direalisasikan.
Pemain yang telah melakukan 19 penampilan, termasuk 4 penampilan di saingan eropah untuk Manchester United ini adalah pemain kelahiran Lancaster, England.
Namun demikian, McTominay boleh membuat pilihan di antara England dan Scotland kerana ayahnya yang berketurunan Glasgow.
Nama McTominay mulai menyinar dan menjadi sebutan selepas Jose Mourinho kerap menurunkan pemain tersebut, tatkala pemain bintang seperti Paul Pogba direhatkan oleh pengendali dari Portugal tersebut.
Penampilan pertama bersama skuad utama Manchester United tiba pada Mei tahun lalu, dan nama McTominay sentiasa berada di dalam skuad utama Mourinho selepas itu.
Untuk rekod, McTominay mulai menyertai Manchester United pada usia 5 tahun. Beliau telah menandatangani kontrak baharu pada Oktober lalu, yang memastikan pemain ini terus kekal di Old Trafford sehingga 2021.
Aksi terakhir McTominay ketika diberikan arahan untuk mengawal Eden Hazard ketika membabtu Manchester United menewaskan Chelsea 2-1 pada minggu lalu, terus menjadi sebutan penyokong dan penganalisa bola sepak.
McTominay akan terus menjadi nadi penting Manchester United dalam baki saingan pada musim ini, dan akan terus digandingkan dengan Nemanja Matic selepas kecederaan yang menimpa Ander Herrera.
Kelibat pemain ini sering mengingatkan kita kepada Darren Fletcher yang beraksi bersama skuad Red Devils di antara 2003 sehingga 2015.