Jaringan lewat permainan oleh Terrence telah menghadiahkan tiga mata penuh buat Kuala Selangor Batu Dua FC selepas berjaya menundukkan SA PIB FC 1-0 pada aksi kumpulan A Selangor Champions League 2019 (SCL2019) yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Corak permainan menyerang diterapkan Kuala Selangor Batu Dua FC dan SA PIB FC sebaik sahaja aksi dimulakan, namun penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha keras kedua-dua pasukan.
Penyerang utama PIB FC, Mamadou Berete terlebih dahulu menguji gawang lawan tetapi sepakan percuma yang diambilnya dalam jarak kira-kira 25 meter sedikit melewati palang gol Kuala Selangor Batu Dua FC pada minit ke-14.
Seminit kemudian, giliran skuad Batu Dua FC pula memberikan ancaman menerusi Terrence yang mengawal bola dengan baik sekaligus mengatasi kawalan dua pemain pertahanan. Bagaimanapun, percubaan leretnya berjaya dikuis keluar pertahanan PIB FC.
Terrence sekali lagi menjadi igauan buat pasukan lawan selepas sepakan percuma yang diambil gagal ditangkap kemas penjaga gol, Izzat Abd Rahim tetapi tandukan susulan dilakukan Jegatheswaran pula tersasar.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan babak kedua, Terrence muncul wira buat Kuala Selangor Batu Dua FC apabila beliau dengan tenang menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti hasil umpanan lambung cantik dilakukan Steven Raj.
Jaringan tersebut sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad yang berpangkalan di Kuala Selangor itu.
Pemain terbaik perlawanan: Terrence (Kuala Selangor Batu Dua FC)