SA PIB FC merakamkan kemenangan kedua dengan bergaya selepas menundukkan Bangi Jang’s Trooper 4-1 pada aksi minggu kelima saingan kumpulan A Selangor Champions League 2019 (SCL2019) di Arena MPSJ, malam tadi.
Naib juara edisi 2017 itu bagaimanapun ketinggalan satu jaringan selepas jaringan daripada Ibrahim Suhaib memisahkan kedua-dua pasukan sehingga tamat separuh masa pertama.
Jaringan tersebut terhasil berpunca daripada sepakan sudut dari sebelah kiri pintu gol SA PIB FC yang ditanduk masuk oleh Ibrahim pada minit ke-28.
Kebangkitan SA PIB FC bermula pada minit ke-49 apabila Mamadou Berete melepaskan rembatan padu yang menerjah gawang Bangi Jang’s Trooper susulan satu serangan balas pantas.
Berselang empat minit kemudian, Muhd Huzaini Ikhram menjadikan kedudukan 2-1 buat SA PIB FC apabila tandukannya hasil sepakan percuma gagal ditepis keluar penjaga gol Bangi Jang’s Trooper.
Huzaini sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring selepas kesilapan pertahanan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya disudahkan dengan baik untuk gol ketiga SA PIB FC pada minit ke-67.
Shafiq Azman terus menceriakan kelab dari Shah Alam itu apabila jaringannya pada masa kecederaan, melengkapkan kemenangan bergaya 4-1 buat SA PIB FC.
Pemain terbaik perlawanan: Muhd Huzaini Ikhram (SA PIB FC)