Quantcast

KOMUNITI SELANGOR CHAMPIONS LEAGUE

SCL2019: SA Klasiko Singkirkan Juara Bertahan

SA Klasiko FC melakar kejutan besar dalam saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) selepas menundukkan Puchong Fuerza Gamestop FC menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 [terikat 0-0 masa sebenar] bagi melangkah ke separuh akhir pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Meskipun berdepan Puchong Fuerza FC yang merupakan juara bertahan, ia tidak langsung menyentap semangat SA Klasiko FC untuk turut tampil garang pada aksi suku akhir ini.

Pertembungan menarik dipamerkan pada perlawanan ini apabila kedua-dua pasukan tampil dengan serangan berbahaya ke gawang lawan masing-masing.

SA Klasiko terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila sepakan penalti yang diambil Wong Kah Heng berjaya dinafikan penjaga gol berpengalaman, Mohamed Redzuan Harun.

Skuad bimbingan Khairil Anuar itu sekali lagi kecewa selepas jaringan Wong Kah Heng pada penghujung babak pertama dibatalkan setelah beliau dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Aksi menarik diteruskan pada babak kedua dengan penjaga gol SA Klasiko FC, Mohd Hafizi Hamdan cemerlang menepis tandukan cantik dilakukan Mohd Fazli Zulkifli pada minit ke-41.

Memasuki minit ke-63, kekecohan berlaku selepas rembatan dari luar kawasan penalti diledakkan pemain import SA Klasiko FC, Jamil Garba menimbulkan sedikit pertikaian.

Kem SA Klasiko FC mendakwa bola tersebut sudah melepasi garisan gol tetapi pengadil tidak mengendahkannya sehingga membuatkan Nabilah Khan melakukan protes sehingga dilayangkan kad merah.

Keputusan tanpa jaringan kekal hingga tamat permainan mengakibatkan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti juga tidak kurang menariknya apabila 10 sepakan diperlukan yang menyaksikan kegagalan Muhammad Haikal Mat Razi menyempurnakan sepakan terakhir menghadirkan ceria buat SA Klasiko FC.

Dengan kemenangan penting yang dicatatkan, SA Klasiko FC akan menempah pertemuan separuh akhir menentang Kingstown Klang FC, minggu depan.

Pemain terbaik perlawanan: Jamil Garba (SA Klasiko FC)