Quantcast

KOMUNITI SELANGOR CHAMPIONS LEAGUE

SCL2019: Penentuan Sepakan Penalti Bawa Kingstown Klang FC Ke Separuh Akhir

Kingstown Klang FC terpaksa menunggu hingga ke penentuan sepakan penalti untuk menewaskan MPKj FC 3-2 [1-1 masa sebenar] sekaligus berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Selangor Champions League 2019 (SCL2019).

Dibarisi dengan barisan pemain berkualiti, corak permainan menarik ditampilkan kedua-dua pasukan dengan serangan balas ke kubu lawan masing-masing pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ itu.

Keadaan tersebut bagaimanapun masih tidak mampu untuk menjelmakan jaringan yang diharapkan walaupun Kingstown Klang FC hampir memisahkan kedudukan tetapi gol dihasilkan Naim Asraff dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan ofsaid.

Kemasukan pemain muda, Shah Azman Ekmal Saleh pada babak kedua nyata menambah sengat Kingstown Klang FC dengan aksi lincah dipamerkan di sayap kiri.

Shah Azman pantas membalas kepercayaan yang diberikan terhadapnya apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-44 selepas dengan tenang memperdayakan pertahanan lawan dalam kawasan penalti sekaligus menewaskan penjaga gol, Wan Azizul Hakim.

Ketika kejayaan semakin hampir untuk diraikan Kingstown Klang FC, Aiyakhaire Daniel muncul penyelamat buat MPKj FC hasil jaringan penyamaan pada penghujung aksi bagi mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Tiga sepakan awal yang diambil menyaksikan MPKj FC mendahului dengan keputusan 2-1 tetapi sebaliknya berlaku pada dua sepakan terakhir apabila Kingstown Klang FC menyempurnakan sepakan menerusi Manaf Mamat dan Azlan Zainal.

Manakala M. Suthan dan Ahmad Hijazi pula sekadar menyepak tinggi bola untuk kemenangan 3-2 memihak skuad himpunan nama besar itu.

Dengan kemenangan yang diraih, Kingstown Klang FC bakal menanti pemenang di antara Puchong Fuerza FC dan SA Klasiko FC di saingan separuh akhir, minggu hadapan.

Pemain terbaik perlawanan: Shah Azman Ekmal Saleh (Kingstown Klang FC)