MPKJ FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) apabila menundukkan MBSA FC 1-0 pada aksi minggu kedua saingan kumpulan B yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Aksi menarik dan sedikit tegang ditampilkan kedua-dua pasukan yang masih segar dengan kemenangan pada perlawanan sulung minggu lalu.
Kesilapan penjaga gol, Aminuddin Hassan pada minit keempat telah menghukum MBSA FC apabila Aiyakhaire Daniel tidak melepaskan peluang untuk membuka tirai jaringan.
Selepas itu, MPKJ FC terus menggandakan asakan ke kubu lawan dengan dua percubaan terbaik yang dijelmakan. Namun, tandukan dilakukan Aiman Ruslan dan Aiyakhaire gagal menemui sentuhan jaringan.
Aiyakhaire hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-41 menerusi satu serangan balas pantas serta umpanan cantik daripada Solomon Ekunke tetapi percubaannya ketika hanya berhadapan Aminuddin Hassan sedikit tersasar.
MBSA FC meningkatkan tempo permainan dengan memberikan tekanan hebat ke kubu MPKJ FC. Peluang terbaik yang dimiliki adalah pada minit ke-43 menerusi Ahmad Hafiz Abdul Aziz.
Penjaga gol MPKJ FC, Wan Azizul Hakim bagaimanapun tangkas menafikan percubaan tersebut untuk menggagalkan usaha MBSA FC bagi menyamakan kedudukan.
Dua peluang keemasan di minit ke-54 menerusi sepakan percuma Rahmat Azeme serta percubaan Mohammad Naim Halim pada masa kecederaan turut tidak mampu menghadirkan jaringan yang diharapkan MBSA FC untuk perlawanan berkesudahan 1-0 memihak MPKJ FC.
Pemain terbaik perlawanan: Solomon Ekunke (MPKJ FC)