Quantcast

KOMUNITI SELANGOR CHAMPIONS LEAGUE

SCL2019: MBSA FC Mara Ke Separuh Akhir Selepas Tundukkan PIB FC

MBSA FC melangkah ke separuh akhir Selangor Champions League 2019 (SCL2019) selepas berjaya menewaskan SA PIB FC 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti [terikat 1-1 masa sebenar] pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Meskipun kedua-dua pasukan tidak dibarisi pemain berstatus bintang, aksi yang dipamerkan MBSA FC dan SA PIB FC tetap menghiburkan pada aksi suku akhir keempat ini.

Muhammad Azfar Hamzah menceriakan kem MBSA FC pada minit ke-21 selepas beliau tanpa disangka-sangka melakukan tandukan ‘terbang’ hasil hantaran cantik daripada Mohamad Faizal Sharuddin.

Memasuki babak kedua, SA PIB FC hampir menyamakan kedudukan di minit ke-44 apabila percubaan daripada Azwan Jatin dalam kawasan penalti berjaya dihalang penjaga gol, Muhammad Lutfil Hadi.

Kekecewaan SA PIB FC terbalas berselang lapan minit kemudian selepas Ahmad Qushairi menolak mudah bola hasil hantaran lintang rendah dilakukan Huzaini Ikhram.

Beberapa peluang terbaik dicipta kedua-dua pasukan tetapi penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mereka untuk memperoleh gol kemenangan memaksa perlawanan berlarutan ke penentuan sepakan penalti.

Sepakan penalti terakhir yang diambil Muhammad Amirul Syafiq akhirnya membawa MBSA FC ke separuh akhir bagi bertemu Kuala Selangor Batu Dua FC pada minggu hadapan.

Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Lutfil Hadi (MBSA FC)