Kuala Selangor Batu Dua FC mencipta keputusan memberangsangkan selepas berjaya menundukkan Gombak RRM FC Unlimited 4-0 pada aksi kumpulan A Selangor Champions League 2019 (SCL2019) di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Selepas kedua-dua pasukan meraih satu mata pada perlawanan minggu lalu, Batu Dua memperlihatkan corak permainan meyakinkan dengan mendominasi hampir sebahagian besar aksi 70 minit.
A. Terrence tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila melakukan ‘backheel’ cantik hasil hantaran dari sebelah kiri pintu gol Gombak RRM yang menewaskan penjaga gol, Suhaimi Ahmad.
Kuala Selangor Batu Dua FC melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-21 selepas Chukwu Nnabuike Chijoke menyempurnakan peluang terbaik berikutan gerakan solo dilakukannya ke gawang Gombak RRM FC.
Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Firdaus Selvam meledakkan jaringan cantik menggunakan kaki kiri dari luar kawasan penalti pada minit ke-45.
Ketika perlawanan hanya berbaki lapan minit untuk ditamatkan, Terrence sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila sepakan penalti yang diambil mudah menewaskan Suhaimi bagi keputusan penuh 4-0 buat Kuala Selangor Batu Dua FC.
Pemain terbaik perlawanan: A. Terrence (Kuala Selangor Batu Dua FC)