Pasukan himpunan bintang dalam saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019), Kingstown Klang FC memulakan saingan dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan Bangi Jang’s Trooper 2-1 pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Namun, kejayaan itu tidak mudah yang disangka kerana jaringan kemenangan mereka hanya menjelma pada minit ke-70 menerusi pemain pertahanan kanan, Ibnu Hisyam.
Meskipun berdepan lawan yang dibarisi barisan berprofil tinggi seperti Abdul Manaf Mamat, Azidan Sarudin, Ahmad Azlan Zainal dan Mohd Lot Abu Hassan, ia langsung tidak merentap semangat juang para pemain Bangi Jang’s Trooper untuk memberikan tekanan hebat.
Sepanjang 70 minit perlawanan, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menarik dengan aksi saling berbalas serangan dapat disaksikan.
Kingstown Klang FC membuka tirai jaringan pada minit ke-42 menerusi sepakan percuma menarik diledakkan Azidan sekaligus membolosi gawang Bangi Jang’s Trooper yang dikawal Muhammad Asymawi.
Skuad yang berpangkalan di Klang itu tersentak buat seketika apabila Hasrul Nurkholis kembali menyamakan kedudukan selepas beliau menyempurnakan umpanan cantik dijelmakan Ibrahim Suhaib pada minit ke-58.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral pemain Bangi Jang’s Trooper yang hampir menambah jaringan. Bagaimanapun tandukan bebas dilakukan Muhammad Faris Mohamad berjaya dinafikan penjaga gol Kingstown Klang, Md Azri Md Arus.
Ketika perlawanan semakin hampir untuk ditamatkan, Ibnu Hisyam muncul wira apabila ledakannya hasil sepakan penjuru pendek daripada Muhammad Zulhilmi menghadiahkan kemenangan bermakna buat Kingstown Klang FC.
Pemain terbaik perlawanan: Ibnu Hisyam (Kingstown Klang FC)