Jaringan tunggal Azidan Sarudin kembali meletakkan Kingstown Klang FC di landasan kemenangan selepas menundukkan Cyberjaya Teleflow FC 1-0 pada aksi minggu keempat kumpulan A Selangor Champions League 2019 (SCL2019) yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Cyberjaya Teleflow FC bagaimanapun lebih banyak mencipta peluang terbaik pada perlawanan ini terutamanya menerusi Zakwan Zamri.
Kepantasan pemain sayap kiri itu jelas menjadi ancaman buat pertahanan Kingstown Klang FC apabila larian deras pada minit ke-30 menghadirkan peluang terbaik buatnya.
Namun, rembatan kaki kiri diledakkan Zakwan berjaya dinafikan penjaga gol, Muhammad Izzudin.
Izzudin terus menjadi antara watak utama buat Kingstown Klang setelah beliau bertindak tangkas menggagalkan dua percubaan dilepaskan Azhar Hassan dan Zakwan pada minit ke-31 dan 44.
'61 GOAL! Kingstown Klang leads!
Azidan Sarudin with another astonishing free-kick to finally break the deadlock!#KINGvsTEL#SCL2019#LigaUntukJuara#EarnedNotGiven#FootballSelangor pic.twitter.com/z5SXCFqoEQ
— FA Selangor (@FASelangorMY) October 19, 2019
Langkah pengendali pasukan, Rudie Ramli memasukkan Abdul Manaf Mamat bagi menggantikan Mohd Aidil Abdul Aziz nyata memberikan kesan buat Kingstown Klang dalam menghadirkan ancaman ke kubu Cyberjaya Teleflow FC.
Jaringan yang dinantikan akhirnya menjelma pada minit ke-61 apabila Azidan Sarudin meledakkan rembatan padu susulan sepakan percuma untuk jaringan pembukaan sekaligus turut menghadiahkan tiga mata penuh buat Kingstown Klang FC.
Gol tersebut bukan sahaja memberikan kekalahan sulung buat Cyberjaya Teleflow FC malah ia turut merupakan pertama kali gawang skuad bimbingan Badrul Hisham itu dibolosi.
Pemain terbaik perlawanan: Azidan Sarudin (Kingstown Klang FC)