Cyberjaya Teleflow FC merakam kemenangan sulung pada aksi kumpulan A Selangor Champions League 2019 (SCL2019) selepas berjaya menundukkan SA AZE FC 3-0 di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Sekadar meraih satu mata pada aksi minggu pertama minggu lalu, Teleflow FC dilihat mempamerkan corak permainan menyerang sejak dari awal permainan.
Penguasaan itu membuahkan hasil pada minit ke-14 berikutan kesilapan penjaga gol SA AZE FC, Nik Najmee Nik Hussin dan kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Muhammad Salihan Jamil untuk membuka tirai jaringan.
Pemain sayap kanan, Lucky Ugo hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-26 tetapi tandukannya hanya singgah di palang gol pasukan SA AZE FC.
Berselang empat minit kemudian, Mohd Fairuz Abdul Aziz berjaya membolosi gawang SA AZE FC, namun beliau terlebih dahulu dikesan ofsaid ketika situasi sepakan percuma.
SA AZE FC memperkemaskan aksi pada babak kedua bagi memberikan saingan dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-47 menerusi Sherif Ahmed Moustafa. Rembatan padu dari jarak jauh diledakkannya bagaimanapun berjaya dihalang penjaga gol, Muhammad Nadzir Mohd.
Sedar tekanan yang diberikan lawan, Cyberjaya Teleflow FC berjaya melebarkan kedudukan menerusi Amirul Yamin pada minit ke-51.
Jaringan tersebut berpunca daripada serangan balas pantas dimulakan Muhammed Jawo yang melorongkan bola kepada Amirul dan seterusnya tidak berdepan masalah menjadikan kedudukan 2-0.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, pertahanan SA AZE FC, Fakhrul Razi Yaakub tertampan bola ke dalam pintu gol sendiri dalam usahanya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Pemain terbaik perlawanan: Hakeem Badri Mohd Fuad (Cyberjaya Teleflow FC)