Bukit Kapar FC melangkah keluar daripada Arena MPSJ dengan penuh kepuasan selepas berjaya menundukkan Belia Selangor 2-0 pada aksi minggu kedua [hari kedua] saingan kumpulan B Selangor Champions League 2019 (SCL2019) sebentar tadi.
Kemenangan itu cukup penting buat Bukit Kapar setelah mereka tunduk 0-3 ditangan MPKJ FC pada aksi minggu lalu manakala Belia Selangor pula sebaliknya apabila mencipta kejutan keatas SA Klasiko FC juga dengan keputusan yang sama.
Belia Selangor bagaimanapun terlepas peluang terbaik pada minit ke-16 apabila rembatan padu diledakkan S. Devesshraja dalam kawasan penalti sekadar singgah di tiang gol.
Selepas itu, Bukit Kapar FC yang menunjukkan peningkatan aksi pada perlawanan ini mula mengasak ke kubu Belia Selangor menerusi beberapa gerakan menarik.
Jaringan yang dinantikan Bukit Kapar FC menjelma pada minit ke-48 berikutan kesilapan penjaga gol Belia Selangor, Mohamad Nazmi Md Noor yang gagal menangkap bola dengan baik.
Rafiuddin Ramly yang tidak dikawal pertahanan dalam kawasan penalti Belia Selangor dengan tenang menolak masuk bola bagi menjadikan kedudukan 1-0 buat pasukan dari Bukit Kapar itu.
Belia Selangor yang tidak beraksi seperti perlawanan minggu lalu terus dihukum dengan gol kedua hasil tandukan dilakukan Mohd Syafiq Mohd Zahari pada minit ke-61 untuk perlawanan berkesudahan 2-0 memihak Bukit Kapar FC.
Pemain terbaik perlawanan: Rafiuddin Ramly (Bukit Kapar FC)