Meskipun peluang sudah tertutup untuk melayakkan ke peringkat suku akhir, Belia Selangor menoktahkan perjuangan dalam kempen Selangor Champions League 2019 (SCL2019) dengan kejutan selepas berjaya meleburkan rekod tanpa kalah MPKj FC hasil kemenangan 1-0 di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Tekanan tinggi yang dilakukan anak buah Noor Zaidi Rohmat itu membuatkan MPKj FC kelihatan bergelut bagi menghadapi perlawanan ini.
Belia Selangor bagaimanapun mampu untuk menang dengan jurang yang lebih besar tetapi penyudah tumpul serta kekebalan penjaga gol MPKj FC, Wan Azizul Hakim menghampakan kem skuad muda tersebut.
GOAL! Belia @FASelangorMy leads!
A swinging cross was superbly headed in by Khairul Naim, making MPKJ conceding only their second goal overall so far!#MPKjvsBEL#SCL2019#LigaUntukJuara#EarnedNotGiven#FootballSelangor pic.twitter.com/CDhaL5iJpt
— Football Selangor (@FootballSEL) November 16, 2019
Wan Azizul nyata tangkas dalam menafikan dua percubaan terbaik dari jarak jauh yang diledakkan S. Sharvin pada minit ke-22 dan 48.
Kekebalan penjaga gol itu bagaimanapun terhenti pada minit ke-51 apabila pemain pertahanan Belia Selangor, Khairul Naim menanduk masuk bola berpunca hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol MPKj FC.
Jaringan tersebut nyata menyemarakkan lagi semangat juang pemain Belia Selangor untuk menambah jaringan, namun segala usaha walaupun mencipta beberapa peluang tidak berjaya disempurnakan dengan baik.
Belia Selangor menamatkan saingan SCL2019 dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan. Mereka akan kekal di tangga kelima sekiranya Bukit Kapar FC tewas kepada NPNG FC Damansara Damai, esok.