SCL2018: Tiga Kad Merah Warnai Aksi Hambar Axis-O2 Bertemu MPKJ FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Axis-O2

Axis-O2 PJ FC melepaskan peluang beraksi dengan kelebihan dua orang pemain selepas hanya sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu MPKJ The Lions FC di Arena MPSJ.

Ternyata aksi yang dipamerkan pada malam ini bukanlah satu aksi yang baik apabila tidak banyak serangan menarik yang tercipta.

Kedua-dua pasukan kelihatan begitu bergelut untuk mencipta jaringan yang diharapkan.

Axis-O2 yang merupakan juara edisi musim lalu lebih mengawal permainan dengan penguasaan bola yang dicatat sebanyak 57% pada babak pertama.

Namun, penguasaan tersebut tidak memberikan sebarang makna selepas tiada serangan berbahaya yang dapat dicipta skuad dari Petaling Jaya itu.

Ketika tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai aksi di babak pertama, penyerang MPKJ FC,  Muhamad Hazim Mohamad mencuri tumpuan.

Bukan kerana beliau berjaya menjaringkan gol tetapi insiden dilayangkan kad merah selepas Hazim menerima kad kuning kedua akibat terjahan keras yang dilakukannya terhadap Mohammad Hafiz Sharif pada minit ke-33.

Memasuki babak kedua, Axis-O2 memperkemaskan aksi dalam usaha memburu jaringan tetapi masih belum cukup untuk menjelmakan jaringan yang diharapkan.

Malang terus menimpa MPKJ FC apabila mereka kehilangan seorang lagi pemain setelah Fitri Zaidi pula dilayangkan kad merah pada minit ke-51.

Ketika dua kad merah dilayangkan di dalam padang buat pemain, pemain simpanan Axis-O2 turut diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan.

Kesempatan beraksi dengan kelebihan dua orang pemain masih gagal digunakan sepenuhnya oleh Axis-O2 PJ FC.

Axis-O2 terlepas peluang keemasan pada masa kecederaan selepas Iman Mazlan yang memperoleh peluang dihadapan pintu gol, melakukan rembatan yang sedikit tersasar yang jelas begitu menghampakan kem pasukan tersebut.

Aksi hambar tersebut kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U