KRU Port Klang FC sekadar berpuas hati dengan satu mata selepas terikat tanpa jaringan pada pertemuan menentang Kajang AZS FC bagi aksi minggu kedua Selangor Champions League 2018 di Arena MPSJ sebentar tadi.
Nasib berbeza dihadapi kedua-dua pasukan pada perlawanan pertama minggu lalu apabila KRU Port Klang FC mudah mencatatkan kemenangan selesa 5-0 bertemu CABJ.
Manakala, Kajang AZS pula tunduk 4-1 ditangan Duta ZXIV.
Beraksi di bawah terik matahari walaupun hujan membasahi Subang sebelum perlawanan bermula, aksi yang diperagakan sedikit hambar.
Gerakan yang dilancarkan terutamanya dari KRU Port Klang FC yang lebih mendominasi permainan gagal membuahkan hasil yang diharapkan memaksa aksi di babak pertama tamat dengan tanpa jaringan.
Corak permainan lebih baik disajikan pada awal separuh masa kedua apabila dua percubaan berturut-turut berjaya dicipta KRU Port Klang FC sebaik sahaja perlawanan bersambung.
Percubaan lambung dari pemain import Kajang AZS FC, Phillip Abbah Eugine pada minit ke-38 pula sekadar singgah di tiang gol KRU FC.
KRU FC yang mempamerkan corak permainan lebih tersusun terlepas satu lagi peluang keemasan selepas Rosedy Muslim yang tidak dikawal pemain pertahanan lawan, melakukan tandukan yang sedikit melewati palang gol.
Kajang AZS cuba bangkit untuk memberikan cabaran buat pasukan lawan dan tandukan yang dilakukan Khairul Azahari Romainor pada minit ke-64 hasil sepakan penjuru hampir mengejutkan para penyokong KRU Port Klang FC.
Penjaga gol KRU FC, Mohd Sulaiman Ramlan bagaimanapun bertindak cemerlang bagi menepis tandukan pertahanan berusia 30 tahun itu.
Kedudukan tanpa jaringan kekal hingga tamat perlawanan bagi kedua-dua pasukan berpuas hati untuk berkongsi mata pada perlawanan kedua ini.