Puchong Fuerza FC mencatatkan tiga mata penuh dalam aksi ketiga kempen Selangor Champions League 2018 setelah menang selesa 3-0 bertemu Paya Jaras Hiliran (PJH FC) di Arena MPSJ, Subang Jaya sebentar tadi.
Puchong Fuerza yang memburu kemenangan kedua dalam tiga perlawanan yang dilalui setakat ini memperagakan aksi lebih tersusun terutamanya di babak pertama.
Kelibat para pemain Puchong Fuerza juga dilihat sukar untuk ditandingi barisan pemain Paya Jaras Hiliran FC.
Selepas beraksi kurang baik pada perlawanan sulung ketika bertemu Gombak FC tempoh hari, penyerang berpengalaman Puchong Fuerza, Afiq Azmi membuktikan sentuhan berbisa dimilikinya.
Ia terbukti selepas penyerang yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia itu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.
Jaringan pertama beliau menjelma pada minit ke-10 apabila hantaran lambung dari kawasan sendiri yang dicipta rakan sepasukan, Afiq yang mendada bola terus melepaskan rembatan bagi membuka tirai jaringan.
Berselang sepuluh minit kemudian, Afiq Azmi menggunakan kesempatan hasil kelalaian pertahanan Paya Jaras Hiliran yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk menjaringkan gol kedua peribadi buatnya.
Afiq terlepas peluang untuk melengkapkan hatrik apabila peluang yang dimiliki pada minit akhir babak pertama berjaya dinafikan penjaga gol PJH FC, Mohd Faiz Ridwan.
Memasuki babak kedua, PJH FC memperkemaskan aksi bagi menyaingi corak permainan kemas yang ditampilkan Puchong Fuerza.
Namun, ia belum cukup untuk menghalang penguasaan permainan yang lebih didominasi pasukan dari Puchong itu.
Puchong Fuerza mematikan api perjuangan PJH FC pada minit ke-66 selepas Haikal Mat Radzi berjaya menjaringkan gol ketiga.
Pasukan yang mendapat sentuhan jurulatih, Nazrulerwan Makmor itu seharusnya menang dengan kelebihan gol yang lebih besar apabila mereka terlepas beberapa lagi peluang keemasan yang seharusnya tidak berdepan bermasalah untuk disempurnakan.
Kemenangan 3-0 yang diraih Puchong Fuerza meletakkan pasukan itu dalam landasan yang tepat untuk terus memanjat tangga yang lebih baik dalam saingan kumpulan A.