Kemenangan kedua berturut-turut diraih Puchong Fuerza FC selepas berjaya menundukkan Banting Naga FC 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Puchong Fuerza yang dibimbing Mohd Nazrulerwan Makmor dilihat lebih menguasai permainan dengan pemain tengah, Mohammad Hakim Zainal bertindak cemerlang merancana serangan pasukan.
Bermula dari gerakan yang diilhamkan Hakim buat Muhammad Farhanuzi Che Sanuzi di bahagian tengah, Farhanuzi melorongkan kembali bola buat Hakim yang terus meledakkan rembatan untuk jaringan pertama buat Puchong Fuerza pada minit ke-16.
Satu kombinasi yang cukup baik diantara Farhanuzi dan Hakim bagi menjayakan gol tersebut.
Berselang empat minit kemudian, Banting Naga FC memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi Muhammad Fawayzur Nain yang mendapat lorongan baik dari Mohd Firdhaus Azman.
Percubaan yang dilakukan Fawayzur bagaimanapun berjaya dinafikan penjaga gol Puchong Fuerza FC, Gabriel Sunday Aloysius.
Penyerang sandaran Puchong Fuerza, Afiq Azmi turut kecewa selepas rembatan padu dari sebelah kiri pintu gol Naga FC dinafikan Okebaram Promise pada minit ke-23.
Kelab yang berpengkalan di Puchong itu melebarkan kedudukan pada minit ke-30.
Pemain berusia 19 tahun, Izzul Muzakkir Bin Aris yang beraksi di posisi sayap kanan, mendapat hantaran cantik dari bahagian tengah untuk meluru pantas yang seterusnya berjaya menewaskan Promise.
Banting Naga FC berusaha untuk kembali bangkit, namun usaha mereka digagalkan kekentalan jentera pertahanan Puchong Fuerza.
Zulkefli Baharuddin menamatkan api perjuangan Banting Naga FC ketika permainan hanya tinggal lima minit sahaja untuk ditamatkan menerusi rembatan dalam kotak penalti akibat kesilapan pertahanan lawan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Kejayaan menumpaskan Banting Naga FC 3-0 ini merupakan kemenangan kedua buat Puchong Fuerza FC selepas mengharungi tiga perlawanan Selangor Champions League 2018.
Pemain terbaik perlawanan: Mohammad Hakim Zainal (Puchong Fuerza FC)