MPKj The Lions meneruskan momentum kemenangan yang baru ditemui dengan menewaskan Paya Jaras Hiliran 3-1 dalam aksi minggu ke-7 Kumpulan A Selangor Champions League 2018 di Stadium MPSJ petang tadi.
Kedua-dua pasukan memerlukan masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang yang sedikit basah. Tetapi MPKj The Lions mempunyai sedikit dominasi berbanding Paya Jaras Hiliran.
Seawal minit ke-6, Paya Jaras Hiliran telah diuji menerusi tandukan penyerang MPKj, Fitri Zaidi. Berpunca daripada sepakan penjuru Aiman Ruslan di sebelah kanan, tiada seorang pun pertahanan Paya Jaras Hiliran berjaya mengawal Fitri. Bagaimanapun tandukan padu Fitri terus menuju ke dakapan penjaga gol lawan, Faiz Ridwan.
Paya Jaras Hiliran mengambil masa 20 minit untuk memberi respons kepada MPKj The Lions. Sepakan percuma Safwan Samsol terbias daripada pertahanan MPKj sekaligus mengelirukan penjaga gol mereka, Faiz Ridwan yang hanya mampu menepis. Sebelum sempat mana-mana pemain Paya Jaras Hiliran mengambil kesempatan, pertahanan MPKj sempat mengeluarkan bola.
MPKj kemudiannya bangkit memperkemaskan permainan mereka. Dibantu oleh dominasi kapten Fauzi Adnan di tengah, MPKj kemudiannya berjaya menjaringkan gol pembukaan hasil jaringan Okpe Ukenke yang memanfaatkan hantaran cantik dari tengah.
Okpe berpeluang menambah gol kedua beliau 4 minit kemudian. Afif Mazlan yang lincah di sayap kiri membuat hantaran lintang cantik yang tepat singgah ke kepala pemain tengah MPKj tersebut. Tetapi tandukan Okpe tersasar – sekaligus memberi ruang kepada Paya Jaras Hiliran untuk menarik nafas lega.
Pertahanan Paya Jaras Hiliran nyata bergelut untuk menangani hantaran-hantaran lintang MPKj dari kawasan sayap. 3 minit sebelum rehat separuh masa pertama, Aiman Ruslan berjaya menanduk padu hantaran lintang kanan Afif Mazlan dari posisi bahaya. Sekali lagi, Paya Jaras Hiliran menarik nafas lega apabila tandukan tersebut berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh Faiz Ridwan.
Ketinggalan 0-1, Paya Jaras Hiliran masih tak mampu untuk menyerang MPKj secara konsisten selepas separuh masa kedua bermula. Hanya selepas percubaan penyerang MPKj, Fitri Zaidi melewati tiang kanan, barulah Paya Jaras Hiliran mendapat peluang hasil larian cemerlang Azrin Aduka di sebelah kiri. Bagaimanapun ia terlalu lemah untuk mencemaskan penjaga gol MPKj, Nik Mohd Sufian.
MPKj The Lions terus menggasak pertahanan Paya Jaras Hiliran untuk gol kedua – terutamanya menerusi Afif Mazlan, Aiman Ruslan dan Fitri Zaidi. Kelekaan pertahanan Paya Jaras Hiliran memaksa penjaga gol mereka, Faiz Ridwan untuk menyelamatkan pasukannya berkali-kali.
Paya Jaras Hiliran akhirnya berjaya mendapat gol penyamaan pada minit ke-56. Berpunca daripada sepakan percuma Ikram Yahaya, Nik Mohd Sufian bertindak menepis bola – hanya untuk memberi peluang kepada Mohd Najib menampan dari jarak dekat.
MPKj The Lions mengembalikan kelebihan satu gol mereka 4 minit kemudian. Faiz Ridwan yang selama ini cemerlang, dengan tidak semena-mena membuat kesilapan apabila tersilap memposisikan badannya dengan betul untuk gagal menyelamatkan gol Isshahfudin Nordin.
Fauzi Adnan kemudiannya menguburkan impian Paya Jaras Hiliran untuk membuat kebangkitan pada minit 68′ apabila berjaya menikam bola masuk daripada sepakan penjuru sebelah kiri. Apabila Khairul Ridzwan dibuang padang atas kesalahan DOGSO, ia sekadar mengesahkan kemenangan 3-1 MPKj – kemenangan kedua dalam 2 perlawanan berturut-turut.
Pemain terbaik perlawanan: Aiman Ruslan (MPKj The Lions)