Quantcast

BERITA KOMUNITI

SCL2018: KRU Port Klang Terus Cemerlang Raih Kemenangan, Atasi Subang City FC 4-0

KRU Port Klang mencatatkan kemenangan kelima dalam saingan SCL2018 selepas menundukkan Subang City FC 4-0 pada perlawanan yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Sudah melayakkan diri ke saingan suku akhir langsung tidak dihiraukan para pemain KRU Port Klang FC untuk mempamerkan corak permainan bersemangat pada perlawanan ini.

Berpunca daripada hantaran jauh di kawasan sendiri yang terus mencari Muhammad Huzaini Muhammad Ikhram, disudahkan dengan baik pemain berusia 24 tahun itu untuk membuka tirai jaringan buat KRU Port Klang FC seawal minit ke-5.

Subang City yang turut giat melancarkan serangan ke kubu lawan mereka terlepas peluang keemasan di minit ke-14.

Muhammad Asrul Helmi Shamsudin yang meluru pantas menuju kawasan gol melepaskan rembatan padu yang terus ke dakapan penjaga gol KRU Port Klang FC, Sulaiman Ramlan.

Hanya berselang seminit kemudian, Nor Nahrul Hayat Nordin menjadikan kedudukan 2-0 apabila beliau dengan tenang menolak masuk bola hasil hantaran lintang oleh Muhammad Huzaini.

Huzaini hampir meledakkan jaringan kedua peribadi beliau pada perlawanan ini selepas ledakan cantik dari luar kawasan penalti yang dilepaskannya hampir membocori gawang Subang City.

Namun, penjaga gol Asyraf Zakaria lebih tangkas menghalang percubaan tersebut untuk perlawanan babak pertama berkesudahan 2-0.

Memasuki babak kedua, KRU Port Klang menambah dua lagi jaringan dalam tempoh lima minit.

Gol ketiga menjelma pada minit ke-65 menerusi jaringan cantik dari Wan Haziq Emir dari sebelah kanan pintu gol Subang City yang membuatkan Asyraf terpaku.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung, Batharul Zaman Ibrahim melengkapkan kemenangan 4-0 buat KRU Port Klang FC yang sekaligus meletakkan mereka di tangga kedua dengan mengumpul 18 mata.

Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Huzaini Muhammad Ikhram (KRU Port Klang FC)