KRU Port Klang FC yang merupakan antara pasukan pilihan dalam saingan Selangor Champions League 2018 berjaya mengenepikan cabaran Gombak Hypernova FT untuk menang 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Arena MPSJ, malam tadi.
Penjaga gol KRU Port Klang FC, Sulaiman Ramlan bertindak cemerlang pada minit ke-10 selepas berjaya menyelamatkan sepakan percuma cantik yang diambil Mohammad Nurfaiz Osman dari sebelah kiri gawangnya.
Dibarisi pemain berpengalaman jelas menjadi kelebihan buat KRU Port Klang FC yang rancak mengatur gerakan bagi merobohkan jentera pertahanan Gombak Hypernova FC yang dikemudi Hairul Azmi Mukhsin dan Mohammad Shukri Syamsuddin.
Berpunca dari kesilapan pertahanan Hypernova FT, Mohd Suhaili Abdul Rahman yang mendapat hantaran dari rakan sepasukan, dengan tenang menyudahkan peluang untuk membuka tirai jaringan buat KRU Port Klang FC pada minit ke-33.
Berselang dua minit selepas perlawanan bersambung, KRU Port Klang meningkatkan serangan dan gerakan cantik Suhaili dan Rosedy Muslim hampir melebarkan kedudukan.
Bagaimanapun, rembatan yang cuba dilakukan Rosedy berjaya digagalkan penjaga gol Gombak Hypernova FT, Muhammad Aidil Iskandar Anuar.
Terkenal dengan semangat juang tinggi serta tidak memberikan cabaran mudah buat lawan walaupun masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan, Hypernova FT tetap berusaha keras untuk mendapatkan jaringan.
Dua peluang terbaik menerusi sepakan percuma yang diperoleh Hypernova FT juga tidak memberikan masalah buat Sulaiman Ramlan yang masih kental bertahan mengawal kubunya dari dibolosi.
Usaha yang dilancarkan pada masa tambahan masih belum mampu untuk menghadirkan jaringan penyamaan buat Gombak Hypernova FT bagi mengesahkan kemenangan 1-0 milik KRU Port Klang FC.
Kejayaan memperoleh tiga mata penuh ini meletakkan KRU Port Klang FC di tangga kedua buat seketika dengan mencatatkan 8 mata manakala Gombak Hypernova FT masih masih kecewa dengan empat kekalahan.
Pemain terbaik perlawanan: Mohd Suhaili Abdul Rahman (KRU Port Klang FC)