Klang Valley United (KVU) merakamkan kemenangan sulung dalam saingan kumpulan B Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menundukkan Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ) 3-1, semalam.
KVU yang dibimbing Shazwan Wong hanya memerlukan tiga minit sahaja untuk mendahului menerusi Mohd Shafiq Riza Huzair.
Pemain tengah berusia 25 tahun itu menerima lorongan daripada Hasbullah Mohamed dan melepasi kawalan pertahanan lawan untuk menggegarkan jaring CABJ.
Jaringan pembukaan itu jelas menjadi tonik berguna buat KVU yang terus menggandakan usaha memburu jaringan kedua.
Hasbullah yang menerima peluang terbaik melepaskan peluang tersebut selepas rembatan yang dilakukannya sedikit tersasar pada minit ke-10.
Berselang dua minit kemudian, giliran Muhammad Husaini Azri Yusoff pula mencemaskan gawang CABJ selepas tandukan padu dilakukannya hanya singgah di palang gol.
CABJ yang sedikit tenggelam pada aksi babak pertama cuba untuk memberikan ancaman buat pintu gol KVU pada minit ke-28, namun sepakan percuma yang diambil Muhammad Naim Jasmin mudah ditangkap Arfan Nafiq.
Wan Khairil Azwa Wan Jusoh menggunakan kesempatan diatas kesilapan penjaga gol CABJ, Haziq Amran yang gagal menangkap bola dengan kemas untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-38.
Perlawanan bagaimanapun dicemari dengan dua layangan kad merah oleh pengadil perlawanan apabila Hasbullah Mohamed (KVU) menerima kad kuning kedua pada minit ke-39 manakala Muhamad Shafizi Sehrom pula diperintah keluar padang di minit ke-57.
Abdul Rayjal Abdul Jalil menceriakan kem CABJ selepas beliau yang mendapat lorongan dalam kawasan penalti dengan tenang menyudahkan peluang untuk merapatkan kedudukan.
Beberapa minit kemudian, Abdul Rayjal sekali lagi mendapat peluang seperti jaringan dihasilkannya, namun pertahanan KVU lebih pantas menafikan percubaan lambung dari beliau.
Ketika CABJ giat merangka gerakan untuk menyamakan kedudukan, Hamizan Hamzah mematikan sisa perjuangan kelab berpengkalan di Bukit Jelutong itu pada minit ke-69 bagi mengesahkan kemenangan 3-1 buat KVU.
Pemain terbaik perlawanan: Mohd Shafiq Riza Huzair (Klang Valley United)