Aksi kedua pada perlawanan pertama Selangor Champions League 2018 (SCL2018) menyaksikan Klang Southern FC terikat 1-1 ketika bertemu MPKJ FC di Arena MPSJ.
Klang Southern FC yang menyertai saingan SCL buat kali ketiga berturut-turut turun tanpa dua pemain sandaran utama mereka, Saiful Aula Ahmad dan Carlos Goonting.
Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan padang dan cuaca yang cukup baik menyaksikan jaringan bagi setiap pasukan terhasil menerusi situasi bola mati.
Klang Southern FC memiliki peluang terbaik pada minit ke-19 selepas hantaran lintang menarik dari sebelah kanan pintu gol MPKJ FC dilakukan Kizito Ezeneche.
Bagaimanapun, Saifullah Abdullah yang tidak dikawal pemain pertahanan lawan sekadar menanduk lemah bola untuk mudah ditangkap penjaga gol MPKJ FC, Danial Asraf Rani.
Pemain tengah Klang Southern FC, How Eng Hua mencuri tumpuan selepas berjaya membocori gawang MPKJ FC menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-26.
Jaringan tersebut kekal hingga wisel penamat babak pertama ditiupkan pengadil perlawanan.
Enam minit selepas perlawanan kembali bersambung, MPKJ FC dihadiahkan sepakan penalti setelah Aiman Ruslan dibentes oleh Shahrul Hafifi dalam kotak penalti.
Ketua pasukan, Fauzi Adnan hampir mencetus kegusaran buat Kajang MPKJ FC apabila sepakan yang diambil berjaya ditepis penjaga gol, Alif Daniel.
Fauzi bagaimanapun membalas kesilapan tersebut apabila dengan pantas menyempurnakan percubaan susulan untuk jaringan penyamaan.
Klang Southern FC hampir kembali berada di hadapan pada minit ke-61 selepas Kizito yang mendapat hantaran dari rakan sepasukan, meledakkan rembatan padu ke arah pintu gol lawan.
Namun, ledakan pemain lincah itu dinafikan palang gol yang sekaligus perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.