SCL2018: Kemenangan Dramatik Buat Duta ZXIV, Menang 3-2 Bertemu Gombak Hypernova FT

Duta ZXIV

Jaringan di masa kecederaan oleh Ahmad Faizal Sumar berjaya memberikan kemenangan dramatik 3-2 buat Duta ZXIV pada pertemuan menentang Gombak Hypernova FT di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Duta ZXIV yang kecewa pada minggu lalu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti.

Medina Mbeguere yang dikasari dalam kotak penalti dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketujuh peribadinya selepas mengharungi empat perlawanan.

Duta ZXIV terus mengancam dengan serangan dari jarak jauh oleh pemain sayap kanan, Muhamad Afif Asyraf Muhamad Khalil, bagaimanapun rembatan bekas pemain futsal kebangsaan itu sekadar singgah di palang gol.

Gombak Hypernova FT memiliki peluang terbaik pada minit ke-32 selepas Muhammad Ammar Shafiq Riduan berjaya meluru pantas melepasi kawalan pertahanan Duta ZXIV.

Muhammad Afif Asyraf (jersi biru) berjaya melepasi kawalan pemain Gombak Hypernova FT, Eddy Chandra.

Penyudah kurang baik dari Ammar walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol, Nor Eqram Azray Suzhaimi menggagalkan usaha terbaik itu.

Aksi pada permulaan babak kedua juga memperlihatkan penguasaan Duta ZXIV yang semakin bernafsu untuk melebarkan penguasaan.

Jacque Faye terlepas peluang terbaiknya untuk meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau yang melakukan percubaan susulan ekoran sepakan Medina yang ditepis Aidil Iskandar Anuar, melepaskan sepakan yang meliar pada minit ke-37.

Di sebalik serangan bertali arus yang dilancarkan Duta ZXIV, lawan mereka itu berjaya mencipta kejutan dengan dua jaringan pantas menerusi Muhammad Shahail Nizam Mazlan.

Penyerang gantian berusia 22 tahun itu meledakkan rembatan kaki kiri dalam kotak penalti pada minit ke-53 dan 56 yang berjaya menewaskan Nor Eqram untuk menggembirakan kem Gombak Hypernova FT.

Dua keadaan yang hampir sama dalam penghasilan jaringan oleh Shahail itu.

Perebutan bola diantara Abdul Hakim Siswazir (jersi kuning) dan pemain Duta ZXIV, Azhan Sofian.

Ketika Gombak Hypernova FT semakin menghampiri kemenangan pertama mereka, Jacque Faye memadamkan kelebihan tersebut selepas berjaya menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-70.

Ketika perlawanan disangkakan bakal berakhir dengan keputusan seri, Ahmad Faizal Sumar muncul wira buat Duta ZXIV selepas beliau yang menerima lorongan dari Jacque, tidak melepaskan peluang bagi memberikan gol kemenangan di masa kecederaan.

Kemenangan dramatik yang diraih Duta ZXIV itu menjadi pengubat kekecewaan selepas mereka tewas ditangan NPNG FC Damansara Damai 2-0 pada minggu lalu.

Bagi Gombak Hypernova FT pula, masih tiada mata dapat diraih selepas pasukan tersebut tewas buat kali ketiga dalam tiga perlawanan Selangor Champions League 2018 yang dilalui setakat ini.

Pemain terbaik perlawanan: Jacque Faye (Duta ZXIV)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN