Kajang AZS FC meraih kemenangan ketiga dalam saingan Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menundukkan Klang Valley United (KVU) 3-0 di Arena MPSJ, Subang Jaya sebentar tadi.
Tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai aksi kedua-dua pasukan apabila kurang serangan menarik yang berjaya dicipta.
Klang Valley United yang lebih mengawal permainan di babak pertama seringkali dikecewakan kekentalan jentera pertahanan Kajang AZS FC yang dikemudi Shaifuddin Ismail dan Faiz Mohtar.
Di sebalik penguasaan tersebut, pemain import Kajang AZS, Mohamed Addurazzag Alkanouni berjaya menghasilkan jaringan pada minit ke-16 menerusi gerakan solo dalam kawasan penalti yang terus menewaskan Mitchell Gilbert di gawang KVU.
Addurazzag yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mido’ kemudiannya menjadi ancaman berbahaya buat KVU dengan skil individu yang dimiliki beliau.
Memasuki babak kedua, giliran Kajang AZS FC pula memberikan tekanan buat barisan pertahanan KVU dengan gerakan-gerakan menarik yang dicipta Mido dan penyerang utama, Phillip Abbah Eugine.
Phillip Abbah yang menerima hantaran cantik dari rakan sepasukannya mensia-siakan peluang terbaik selepas beliau yang hanya berhadapan Gilbert melakukan percubaan tersasar di kanan pintu gol KVU.
Ketika aksi kemudiannya sekadar berlegar-legar di tengah padang tanpa sebarang serangan berbahaya yang dicipta kedua-dua pasukan, Addurazzag Alkanouni menambah jaringan kedua pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat Kajang AZS FC sekaligus meletakkan mereka di tangga ketiga kumpulan B buat seketika.
Pemain terbaik perlawanan: Mohamed Addurazzag Alkanouni (Kajang AZS FC)