Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) terus cemerlang memperoleh kemenangan selepas menewaskan Paya Jaras Hiliran (PJH FC) 2-0 pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, malam tadi.
ABMK yang masih belum mengalami sebarang kekalahan selepas mengharungi lima perlawanan dilihat lebih menguasai perlawanan dengan serangan pelbagai variasi yang dilancarkan.
Skuad yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri itu memerlukan 14 minit untuk membuka jaringan menerusi Muhammad Iqmal Hazim Muhamed Supian.
Berpunca daripada situasi sepakan percuma, pemain pertahanan berusia 16 tahun itu menyempurnakan peluang susulan rembatan awal yang diledakkan P.Surian terlebih dahulu ditepis penjaga gol PJH FC, Mohd Razif.
PJH FC juga cuba untuk memberikan ancaman, namun jentera pertahanan ABMK yang dikepalai Surian dan Iqmal Hazim mudah menangkis asakan tersebut.
Permainan di separuh masa kedua memperlihatkan dominasi ABMK yang berterusan memberikan tekanan buat PJH FC yang masih belum mengutip sebarang mata ketika ini.
Dengan corak permainan yang kemas dipamerkan ABMK belum cukup buat mereka untuk menambah jaringan selepas penyudah tumpul menghantui usaha tanpa henti mereka.
Sehinggalah pada minit ke-65, Muhammad Aidil Abd Aziz yang menerima lorongan dari Muhammad Nuriskandar Abdul Hamid, berjaya menggelecek dua pertahanan PJH FC dan seterusnya melepaskan rembatan lencong yang terus menerjah gawang.
Kemenangan 2-0 ini meletakkan ABMK menghuni tangga kedua selepas terikat dengan 10 mata bersama pendahulu, Axis-O2 PJ FC. Namun, ABMK masih kekurangan satu perlawanan berbanding juara bertahan itu.
Paya Jaras Hiliran pula masih di tangga terbawah tanpa sebarang mata.
Pemain terbaik perlawanan: Muhamad Noor Hassan (ABMK)