Duta ZXIV meraih kemenangan kedua dalam saingan Selangor Champions League 2018 selepas berjaya menundukkan Klang Valley United (KVU) 3-0 sebentar tadi di Arena MPSJ.
Separuh masa pertama
Duta ZXIV yang masih segar dengan kemenangan selesa 4-1 ketika bertemu Kajang AZS minggu lalu berada di kelas tersendiri apabila mendahului 2-0 pada babak pertama.
Penyerang import kelahiran Senegal, Medina Mbeguere terus membuktikan bisa sentuhan penyudahnya dengan dua jaringan pada minit ke-27 dan 30.
Jaringan pertama terhasil setelah Medina yang tidak dikawal, mendapat lorongan cantik dari Jacque Faye dan seterusnya menggelecek penjaga gol KVU, Mohd Hafizi Hamdan untuk membuka tirai jaringan.
Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Medina sekali lagi menggembirakan kem Duta ZXIV selepas beliau dengan mudah menyudahkan hantaran lintang dilakukan Rinmon Ngo.
Separuh masa kedua
Sebaik sahaja perlawanan kembali bersambung, Klang Valley United yang dibimbing Shazwan Wong memiliki peluang bagi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-36.
Sepakan tersebut dihadiahkan buat Klang Valley selepas pemain pertahanan, Ahmad Faizal Sumar melakukan kekasaran terhadap Muhammad Uzair Azim Azman.
Namun, Azeez Akeem Yemi yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut, melakukan rembatan tersasar untuk menyelamatkan gawang Duta ZXIV.
Penguasaan bola jelas buat Duta ZXIV serta permainan teratur dipamerkan telah digunakan sepenuhnya untuk menambah gol ketiga menerusi seorang lagi pemain import mereka iaitu Jacque Faye pada minit ke-64.
Jaringan tersebut dihasilkan menerusi sepakan percuma cantik oleh Jacque untuk mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut buat Duta ZXIV.