SCL2018: Duta ZXIV Berhempas Pulas Hadapi Tentangan Hebat Cheras Raptors Untuk Terikat 1-1

Duta ZXIV

Duta ZXIV terselamat dari menerima kekalahan kedua dalam saingan Selangor Champions League 2018 apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Cheras Raptors di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Corak permainan pada perlawanan kedua bagi minggu kelima Selangor Champions League 2018 ini memperlihatkan perlawanan yang lebih menghiburkan berbanding aksi di sebelah petang.

Berdepan pasukan yang dibarisi pemain-pemain yang berkualiti tidak langsung dihiraukan Cheras Raptors apabila mereka lebih mengancam ke kubu Duta ZXIV.

Duta ZXIV bagaimanapun terlebih dahulu melakukan percubaan tepat seawal minit ketiga selepas pemain tengah, Mohd Syazmin Firdaus Mohd Aminuddin melakukan rembatan di sebelah kanan pintu gol Cheras Raptors.

Namun, Affif Aizad Azman yang mengawal gawang Cheras Raptors berjaya menafikan percubaan tersebut.

Penjaring terbanyak SCL2018 setakat ini, Media Mbeguere mensia-siakan peluang terhidang berselang seminit kemudian apabila beliau yang menerima lorongan cantik dari rakan sepasukan, melepaskan rembatan sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.

Cheras Raptors kemudiannya kembali memperkemaskan aksi dengan beberapa asakan yang dicipta.

Afif Asyraf (jersi hijau) berjaya menyelamatkan Duta ZXIV dari menerima kekalahan

Amares Singh menguji gawang Duta ZXIV di minit kelima apabila percubaan luar kotak penalti yang diledakkan hanya sedikit melewati palang gol.

Percubaan dari jarak dekat oleh Yuhendri Rusdi pula berjaya ditepis penjaga gol Duta ZXIV, Nor Eqram Azray Suzhaimi.

Cheras Raptors yang semakin bernafsu memburu jaringan sekali dikecewakan setelah percubaan dari Amares hanya singgah di palang gol untuk keputusan tanpa jaringan kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Medina sekali lagi terlepas peluang keemasan selepas hantaran lintang yang diterima dari sebelah kiri pintu gol Cheras Raptors ditanduk sedikit tersasar pemain kelahiran Senegal itu.

Jaringan yang dinantikan Cheras Raptors akhirnya menjelma pada minit ke-50 berpunca dari sepakan percuma yang diambil Hamad Aqel Mabkhot disudahkan dengan kemas menerusi tandukan oleh Amares.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Duta ZXIV bingkas untuk bangkit memburu jaringan penyamaan.

Perlawanan dicemari dengan layangan kad merah setelah penjaring gol yang juga merupakan ketua pasukan Cheras Raptors, Amares diperintah keluar padang pada masa kecederaan.

Usaha berterusan mereka hingga ke minit terakhir permainan dibayar dengan seribu kelegaan apabila pemain gantian, Muhamad Afif Asyraf Muhamad Khalil menanduk masuk bola hasil hantaran lintang untuk menyelamatkan maruah Duta ZXIV dari menerima kekalahan pada perlawanan ini.

Pemain terbaik perlawanan: Mohd Syazmin Firdaus Mohd Aminuddin (Duta ZXIV)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN