Empat jaringan yang dihasilkan pada separuh masa pertama memberikan kemenangan selesa 4-0 buat NPNG FC Damansara Damai keatas Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ) di Arena MPSJ, Subang Jaya sebentar tadi.
NPNG FC Damansara Damai yang masih segar dengan kemenangan 5-0 menentang Subang City FC, minggu lalu tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada perlawanan ini.
Jaringan pembukaan NPNG FC terhasil pada minit kedua selepas Muhammad Ridhwan Johan yang tidak dikawal dalam kawasan penalti, dengan mudah menolak masuk bola hasil umpanan ke belakang daripada Low Chun Keong.
Ridhwan sekali lagi menemui sentuhan jaringan bagi melebarkan kedudukan pada minit ke-17 setelah beliau yang menerima hantaran jauh daripada Sivachandran Gunasekaran terus menanduk masuk bola untuk menewaskan penjaga gol CABJ, Amirul Haziq Amran.
Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, NPNG FC Damansara Damai semakin garang memburu jaringan apabila berjaya menambah dua lagi jaringan dalam tempoh masa enam minit.
Mohd Shoufiq Mohamad Kusaini menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-17 menerusi tandukan dan berselang empat minit kemudian, beliau bertindak cemerlang melorongkan bola buat Muhd Haiqal Johari untuk gol keempat buat NPNG Damansara Damai.
CABJ cuba untuk bangkit memadamkan kelebihan empat gol dengan dua percubaan kearah gawang NPNG FC, namun penyudah tumpul menggagalkan usaha mereka untuk aksi di babak pertama berakhir dengan kedudukan 4-0.
Pujian harus diberikan buat CABJ apabila mereka berjaya menghalang NPNG FC dari menambah lebih banyak jaringan pada separuh masa kedua.
Satu-satunya peluang terbaik dimiliki CABJ selepas perlawanan bersambung menjelma pada minit ke-53 selepas tandukan yang dilakukan Ahmed Khamis Barakat berjaya dinafikan dengan cemerlang oleh penjaga gol lawan, Mohd Zaidi Razlee.
Empat jaringan yang terhasil pada babak pertama itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan keempat buat NPNG FC Damansara Damai dalam saingan Selangor Champions League untuk menghuni tangga teratas kumpulan B dengan mengumpul 14 mata.
CABJ pula berada tangga ke-8 setelah hanya mencatatkan satu keputusan seri selepas mengharungi lima perlawanan.
Pemain terbaik perlawanan: Mohd Lukhman Noor Hakim (NPNG FC Damansara Damai)