Akademi Bola Sepak Merah Kuning (ABMK) meraih kemenangan kedua dalam saingan Selangor Champions League 2018 setelah berjaya menundukkan MPKJ The Lions FC 2-0 di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Aksi kurang bermaya dipamerkan kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama apabila tidak banyak percubaan berbahaya yang dapat dicipta.
MPKJ The Lions yang sekadar seri pada dua perlawanan terdahulu dilihat lebih kerap melakukan gerakan bagi memburu jaringan.
Namun, usaha tersebut masih belum cukup untuk membuahkan hasil yang diharapkan.
Kesempatan tersebut digunakan ABMK walaupun mereka tidak begitu mengancam ke gawang lawan, sepakan percuma yang diperoleh pada minit ke-24 telah mengubah kedudukan.
Muhammad Zul Hilmi Mohd Zaki yang mengambil sepakan kira-kira jarak 20 meter dari gawang gol MPKJ Lions menggembirakan kem ABMK untuk membuka tirai jaringan dengan percubaan yang terus menerjah jaring.
Ia bukan jaringan sepakan percuma yang pertama berjaya dihasilkan Zul Hilmi apabila beliau juga turut menjaringkan gol menerusi situasi yang sama pada perlawanan Axis-O2 PJ FC, 2 minggu lalu.
Pemain gantian, Muhammad Nuriskandar Abdul Hamid melebarkan kedudukan buat ABMK pada minit ke-48 selepas rembatan dari dalam kotak penalti yang dilepaskan menewaskan penjaga gol MPKJ The lions, Danial Asraf Rani.
Keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk kemenangan kedua buat ABMK manakala MPKJ The Lionspula masih tercari-cari kemenangan sulung selepas mengharungi tiga perlawanan.
Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Zul Hilmi Mohd Zaki (ABMK)