Buat kali pertamanya dalam sejarah, 18 pemain terbaik dari dua liga amatur di Malaysia iaitu SCL All Stars dan TAL All Stars akan berentap sesama sendiri. Pentasnya bukan calang-calang. Bukan semua pemain amatur dapat peluang bermain di Stadium Shah Alam.
Tiada apa-apa trofi utama ditawarkan. Tiada wang tunai disediakan kepada juara. Cuma gelaran dan hak untuk berkata ‘liga kami menghasilkan pemain amatur yang lebih baik daripada liga anda’.
Dalam perlawanan ini, SCL All Stars akan dibarisi oleh 18 pemain dari 16 pasukan yang bertanding dalam Selangor Champions League 2017; kecuali pemain-pemain dari 2 finalis edisi tahun ini iaitu Axis O2 PJ FC dan PIB FC.
Mereka akan dilatih oleh ketua jurulatih Shah Alam United, Nadzri Abu Bakar yang bakal dibantu oleh ketua jurulatih Subang Protap FT, Syafiq Iqmal Fozi.
Manakala TAL All Stars pula akan dibarisi oleh pemain-pemain Real Chukai; juara Terengganu Amateur League (TAL) tahun ini.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif TAL, Muhammad Zainuddin Solahudin, perlawanan SCL All Stars vs TAL All Stars ini merupakan inisiatif terbaru kedua-dua pihak penganjur liga amatur (SCL dan TAL) dalam usaha mereka untuk mempopularkan semula arena bola sepak komuniti di Malaysia.
“Ini perlawanan bersejarah kerana pertama kali diadakan. TAL dan SCL akan meneruskan usaha ini supaya negeri-negeri lain turut akan menubuhkan liga amatur mereka masing-masing,” katanya.
Bagi Pengarah Projek SCL, Dr Johan Kamal Hamidon, perlawanan ini turut diadakan dengan tujuan untuk menyuntik semangat pemain-pemain amatur supaya mengejar impian menjadi pemain profesional.
“Peluang beraksi di hadapan ribuan penonton di Stadium Shah Alam pasti akan memberi mereka motivasi untuk terus memperbaiki diri sehingga menjadi pemain profesional.”
“Sejak SCL diilhamkan Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah pada dua tahun lalu, kami berbangga kerana dapat mempromosikan bakat-bakat pemain muda di Selangor kepada pasukan-pasukan profesional di Malaysia,” tambahnya lagi.
Perlawanan SCL All Stars menentang TAL All Stars ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 9 Disember 2017, tepat pukul 8 malam. Anda turut boleh menyaksikan perlawanan ini menerusi siaran langsung di laman Facebook Blublack Arena dan laman YouTube TV Selangor.