Keputusan seri terus mewarnai aksi Selangor Champions League (SCL) 2019 bagi minggu pertama [hari pertama] setelah SLB UP FC bangkit dari ketinggalan dua jaringan untuk mengikat Subang Protap II FC 2-2 pada aksi kumpulan B yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Aksi yang dipamerkan pada perlawanan ini lebih menarik untuk disaksikan apabila SLB UP FC dan Subang Protap II FC saling melancarkan serangan sejak wisel permulaan ditiup.
Mohammad Loqman Hakim hampir meletakkan Subang Protap II di hadapan pada minit ke-13 setelah beliau menerima hantaran jauh dari tengah padang yang cantik daripada rakan sepasukan. Loqman bagaimanapun melakukan percubaan yang sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol SLB UP FC.
SLB UP turut memiliki peluang terbaik tetapi sepakan percuma dilepaskan Zameer Zainun berjaya ditangkap kemas penjaga gol Protap FC II, Amirul Haziq Amran.
Berselang dua minit kemudian, Mohamad Nur Hafiz menggembirakan kem Protap FC apabila tekanan yang dilakukannya terhadap pertahanan SLB UP membuahkan hasil.
Beliau yang mengawal dengan baik bola dalam kawasan penalti lawan melepaskan rembatan cantik yang seterusnya menewaskan penjaga gol SLB UP FC, Mohammad Arzran Joha.
Loqman Hakim kemudiannya menjadikan kedudukan 2-0 selepas meluru pantas sebaik sahaja berjaya melepasi perangkap ofsaid lalu menolak masuk bola yang sekali lagi gagal dihalang Arzran.
Syazwan Basil kembali menghidupkan peluang buat SLB UP FC apabila merapatkan jurang jaringan pada minit ke-52 menerusi percubaan dalam kawasan penalti.
Usaha tidak mengenal erti penat yang dijelmakan SLB UP jelas menghampakan Protap II FC untuk meraih kemenangan apabila Syazwan Basil berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70.
Pemain terbaik perlawanan: Muhd Syazwan Basil (SLB UP FC)