Cyberjaya Teleflow FC dan Kuala Selangor Batu Dua FC sekadar berpuas hati dengan satu mata selepas terikat tanpa jaringan pada aksi kumpulan A Selangor Champions League (SCL) 2019 yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Tidak banyak dapat diperkatakan pada penampilan sulung kedua-dua pasukan dalam saingan SCL ini apabila gerakan yang dicipta seringkali dipatahkan pertahanan lawan masing-masing.
Hanya percubaan seawal minit ketiga menerusi penyerang Kuala Selangor Batu Dua FC, A. Nivenrao yang ditepis keluar penjaga gol, Mohd Ariff Baharom dan percubaan tersasar Salihan Jamil ketika hanya berhadapan penjaga gol Batu Dua FC pada minit ke-43 menjadi antara aksi menarik pada perlawanan ini.
Selain daripada itu, aksi lebih banyak berlegar di tengah padang tanpa ada sebarang percubaan menarik yang dapat dihasilkan.
Dengan satu lagi perlawanan kumpulan A antara Puchong Fuerza Gamestop FC dan Bangi Jang’s Trooper yang turut berakhir dengan keputusan seri, ia menyaksikan keempat-empat pasukan mengumpul satu mata selepas satu perlawanan.
Pemain terbaik perlawanan: S. Tinagaran (Kuala Selangor Batu Dua FC)