SCL 2019: Belia Selangor Bergaya Tundukkan SA Klasiko FC

Belia Selangor

Skuad ‘adik’ dalam saingan Selangor Champions League (SCL) 2019, Belia Selangor melangkah dengan penuh bergaya selepas berjaya menundukkan SA Klasiko FC 3-0 pada aksi sulung kumpulan B yang berlangsung di Arena MPSJ, Subang Jaya, sebentar tadi.

Keputusan ini nyata mengejutkan peminat bola sepak komuniti kerana SA Klasiko FC lebih dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi aksi sulung tersebut.

Meskipun dibarisi pemain yang mewakili pasukan Piala Belia serta Sekolah Sukan Selangor, barisan muda ini masih mampu mampamerkan corak permainan bertenaga dalam menyaingi SA Klasiko FC.

Mimpi ngeri buat SA Klasiko FC bermula pada minit ke-10 berikutan kegagalan Muhd Faiq mengeluarkan bola dari kawasan sendiri.

Ia sekaligus telah membuka peluang buat Muhammad Husni Idrus untuk memintas ketua pasukan SA Klasiko FC itu lalu menghukum kelalaian tersebut bagi menghadiahkan jaringan pendahuluan buat Belia Selangor.

Pemain sayap kiri Belia Selangor, S. Devesshraja meraikan gol yang dihasilkannya pada pertemuan menentang SA Klasiko FC di Arena MPSJ.

Melihat para pemain Belia Selangor kelihatan semakin yakin mengawal permainan, skuad bimbingan Khairil Anuar cuba bangkit untuk memberikan saingan.

Bagaimanapun usaha mereka dinafikan ketangkasan penjaga gol Belia Selangor, Muhammad Aidil Iskandar yang cemerlang menghalang percubaan SA Klasiko FC terutamanya menerusi Nabilah Khan.

Pada minit ke-22, Belia Selangor hampir mengukuhkan kedudukan tetapi tolakan Adam Farhan Mohd Azmi ketika pintu gol sudah pun terbuka luas sekadar meliar melewati palang gol.

Adam Iskandar terus menjadi penghalang buat SA Klasiko FC selepas percubaan terbaik Nabilah Khan pada minit ke-53 sekali lagi digagalkan penjaga gol muda tersebut.

Ketandusan idea bagi menyamakan kedudukan, Klasiko FC terus dirundung malang pada minit ke-60 susulan satu lagi kesilapan mudah dilakukan jentera pertahanan yang membolehkan S. Devesshraja memperdayakan penjaga gol, Mohd Hafizi Hamdan untuk gol kedua Belia Selangor.

Ketika perlawanan semakin menghampiri penamat, ketua pasukan, Ahmad Danial menyempurnakan sepakan penalti bagi memadamkan api perjuangan SA Klasiko FC pada perlawanan ini.

Pemain terbaik perlawanan: Ahmad Danial (Belia Selangor)

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN