Mauricio Pochettino kini menjadi calon utama untuk mengisi jawatan pengurus sepenuh masa di Old Trafford. Paul Scholes sangat bersetuju dengan nama pengurus Spurs itu.
Menurut Scholes, Man. United perlu melakukan apa sahaja untuk membawa Pochettino ke Old Trafford selepas kontrak sementara Ole Gunnar Solskjaer berakhir pada akhir musim ini. Solskjaer dalam misi menyelamatkan ‘kapal’ Man. United.
Scholes berkata kepada BBC Radio: “Pochettino seharusnya diberikan keutamaan berbanding calon lain. Beliau adalah orang yang paling tepat. Dan jika beliau mahukan jawatan ini, saya percaya ianya adalah ‘milik’ beliau.”
“Beliau membawa diri dengan bijak di hadapan media dan juga dengan pasukannya. Beliau gemar mempromosi pemain muda, dan lebih penting, beliau menang banyak perlawanan.”
Scholes percaya, Pochettino juga memerlukan Man. United untuk melaksanakan impiannya sebagai pengurus bagi memenangi trofi. Ini kerana Man. United adalah kelab yang lebih besar daripada Spurs dalam usaha membantu Pochettino mendapatkan pemain terbaik.
“Saya tahu beliau melakukan tugas dengan baik di Tottenham. Namun, mampukah beliau menang liga dengan Tottenham? Saya tak yakin beliau mampu.”
“Dengan United, beliau akan memiliki kuasa beli, dengan wang yang ada beliau boleh memenangi liga. Jika beliau mahukan jawatan ini – maka beliaulah orangnya.”
Scholes pada masa yang sama berharap Man. United memberikan sokongan dari segi kewangan kepada Pochettino jika mereka melantik pengurus tersebut. Ini bagi mengembalikan kegemilangan United selepas ditinggalkan Sir Alex Ferguson.
“Jika Pochettini masuk, beliau pastinya mahukan pemain yang bermain bola sepak gaya beliau dengan penuh keyakinan. Dan beliau perlukan beberapa pemain bek tengah yang boleh membina serangan dari bawah.”
“Beliau juga perlukan pemain tengah serta penyerang utama. Mungkin 3 hingga 4 pemain baru diperlukan. Pochettino akan membawa pengalaman beliau di Spurs dan mampu memberikan perbezaan kepada pasukan ini.”