Paul Scholes secara terbuka mengkritik prestasi yang ditampilkan Romelu Lukaku bersama Manchester United pada musim ini.
Malah bekas pemain tengah Manchester United itu bertanggapan kelab tersebut tidak akan menjuarai kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan menjadikan Lukaku sebagai penyerang utama.
Lukaku menyertai United pada 2017 dengan nilai £75 juta dari Everton, dan sehingga kini pemain antarabangsa Belgium itu sudah menjaringkan 31 gol dari 62 penampilan setakat ini.
Namun pada musim ini, Lukaku hanya menjaringka empat gol daripada lapan perlawwanan, menyebabkan Scholes tida yakin dengan kemampuan penyerang yang turut pernah menyarung jersi Chelsea itu.
Scholes berpendapat Lukaku bukan pemain lengkap yang boleh dikategorikan sebagai penyerang elit untuk United.
“Saya tidak pasti jika Manchester United mampu menjuarai liga dengan menurunkan pemain penyerang seperti Lukaku,” ujar Scholes kepada ESPN.
“Saya berpendapat beliau tidak cukup bagus ketika berada di luar kotak penalti. Beliau mungkin tidak berusaha cukup keras untuk itu.
“Tetapi Lukaku masih muda dan telah berjaya menjaringkan banyak gol. Gerakan beliau pantas dan mempunyai fizikal yang kuat.
“Masalahnya ialah beliau dilihat sebagai seorang pemain yang tidak mempunyai keyakinan.
“Lukaku mungkin tidak sedar mengenai potensi dirinya. Sudah tentu beliau perlu dibantu kerana tidak ada pemain lain yang boleh beraksi sebagai penyerang utama di Manchester United ketika ini.
Scholes turut berpendapat Anthony Martial atau Marcus Rashford tidak mampu menggantikan Lukaku setelah Jose Mourinho lebih kerap menggunakan kedua-dua pemain tersebut di posisi sayap.
Bekas pemain tengah England itu juga berpendapat persaingan untuk merebut tempat di dalam kesebelasan utama sebagai kunci utama untuk menyelesaikan masalah penyerang di United.
Scholes berkata demikian berdasarkan fakta bekas pengendali, Sir Alex Ferguson memiliki empat penyerang tengah yang boleh dipanggil beraksi pada bila-bila masa ketika kela tersebut menjuarai kejuaraan treble pada 1999.
“Mungkin, tetapi mereka lebih mirip kepada pemain sayap,” ujar Scholes ketika merujuk kepada Martial dan Rashford sebagai pilihan lain untuk beraksi di bahagian tengah serangan.
“Kedua-dua pemain lebih kerap disisihkan oleh pengurus. Dulu kami pernah mempunyai [Andy] Cole, Teddy [Seheringham], Ole [Gunnar Solskjaer] dan [Dwight] Yorke.
“Apabila salah seorang kemarau gol, pemain lain akan tampil untuk menjaringkan gol. Setiap penyerang akan melalui tempoh kesukaran untuk menjaringkan gol. Tetapi pemain lain akan tampil untuk melakukan tugasan itu.
“Sedikit sebanyak, itu akan memberi tekanan untuk mereka menampilkan prestasi terbaik. Kerana pemain akan sedar mereka akan dikeluarkan jika gagal menampilkan aksi yang baik. Mungkin Lukaku memerlukan motivasi sebegitu.
Scholes turut mendakwa bintang Argentina turut akan bergelut untuk menampilkan aksi terbaik bersama pasukan Manchester United sedia ada.
Sebelum ini Scholes secara terbuka mempersoalkan pembelian Alexis Sanchez yang dibayar dengan gaji yang mahal.
Skuad kendalian Mourinho akan bertandang ke Stamford Bridge untuk bertemu Chelsea dalam perlawanan liga pada hujung minggu ini.