Pihak pengurusan Borrusia Dortmund menyatakan kekecewaan mereka kepada Pierre-Emerick Aubameyang yang meraikan gol beliau dengan memakai topeng Nike yang juga seteru Puma.
Ia memang bertentangan dengan aspek komersial kelab tersebut yang dimiliki sepenuhnya oleh Puma. Aubameyang meraikan gol beliau dalam Revierderby menentang Schalke pada minggu lalu dengan topeng Nike.
Pengurus Dortmund, Thomas Tuchel mengakui terkejut dengan tindakan Aubameyang. Beliau berkata:
“Kami (staf kejurulatihan) tidak tahu yang dia akan melakukan benda seperti ini.”
“Kami percaya ia adalah sekuel kepada keraian Batman dan Spider-Man sebelum ini. Tetapi dia sudah membuatkan cerita ini rumit sekarang.”
Tuchel menolak untuk terlalu bekeras dengan Aubameyang dan lebih memilih untuk menyedarkan dia tentang kesalahan profesional tersebut.
Wartawan turut bertanya kepada Marcel Schmelzer, iaitu ketua pasukan Dortmund tentang perkara tersebut. Schmelzer berkata:
“Kami sudah menduga yang dia akan melakukan sesuatu dalam derbi tersebut. Namun saya tak sangka yang dia akan melakukan perkara sebegini, sesuatu yang membuatkan dia nampak bodoh.”
“Tidak ada seorang pun pemain selain dia yang berani melakukan sesuatu seperti itu. Kami sudah menegur dia.”
“Pengurusan kelab pastinya ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu ini dengan dia secara internal.”
“Aubameyang sudah maklum akan kontrak di antara kelab ini dengan penaja utama kami (Puma).”
Namun begitu, kapten ini tetap berkata, dia dan Aubameyang tidak ada masalah. Kedua-dua mereka adalah rakan dan sudah semestinya akan saling menegur jika ada sesuatu yang tidak betul.”
Beliau juga mengakui Borussia Dortmund sangat memerlukan Aubameyang kerana beliau adalah pemain penting dalam kelab tersebut. Schmelzer berkata:
“Dalam apa jua tindakan kami, ianya demi kebaikan pasukan. Aubameyang sedar akan kesilapannya dan ini yang paling penting.”
“Kami tahu apa yang dia boleh berikan kepada kelab dan apa yang kelab boleh berikan kepadanya.”
Sebelum ini CEO Dortmund, Hans-Joachim Watzke sudah pun berjumpa dengan Aubameyang dan menegaskan tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi di masa akan datang.
Penganalisis pasaran sukan melabel Aubameyang telah terlibat dalam promosi guerrilla untuk Nike. Ianya dilakukan dalam pasukan seteru Nike dan juga dalam derbi yang menjadi tumpuan dunia.
Ini adalah kali pertama Aubameyang memberikan imej buruk kepada kelab. Jadi kesalahan beliau dimaafkan. Sebelum ini beliau pernah digantung oleh pengrusan Tuchel kerana lambat balik ke kem latihan.
Itu lebih kepada isu disiplin tetapi tidak berkaitan dengan imej kelab di mata penaja.
Baca juga: Ibrahimovic Beri Amaran Agar Manchester United Mampu Menandingi Cita-Cita Beliau