Walaupun tampil selaku antara penjaring terbanyak buat skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsuddin tetap tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan para penyokong setelah aksinya sedikit hambar pada perlawanan penentuan pingat gangsa dalam saingan Sukan SEA baru-baru ini di Vietnam.
Menyedari kritikan tersebut, Luqman jelas memasang tekad untuk kembali bangkit dalam saingan seterusnya iaitu Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan yang bakal membuka tirai pada awal bulan depan.
Skuad B-23 kebangsaan kendalian Brad Maloney menjalani latihan pada sebelah pagi di Padang MSN, Bukit Jalil.
Skuad muda negara akan mengharungi Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan berdepan Republik Korea pada 2 Jun, Thailand 5 Jun dan Vietnam 8 Jun.#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/sPVuNlTV9U
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 26, 2022
Jelas Luqman, beliau sentiasa bersedia untuk menghadapi segala bentuk kritikan terhadap dirinya daripada para penyokong bola sepak negara selain enggan untuk sesekali mengalah dan bakal menampilkan aksi lebih baik berbanding sebelum ini.
“Saya cuba memperbaiki dari segi teknikal penyudah yang masih perlu diperkemas lagi kerana saya yakin setiap orang ada kelemahan tersendiri.
“Masih banyak perlu dipelajari bagi menjadi seorang pemain berkualiti. Saya terima segala kritikan peminat bola tempatan untuk terus memperbaiki diri,” katanya ketika ditemui di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil semalam menerusi Arena Metro.
Untuk rekod, Luqman dan Hadi Fayyadh antara individu menjadi mangsa kritikan penyokong setelah kedua penyerang ini gagal menyempurnakan penalti ketika aksi penentuan bertemu Indonesia sekali gus menyaksikan Malaysia sekadar berputih mata untuk meraih apa-apa dalam kejohanan tersebut.
GOOL!!
Luqman Hakim Shamsudin 4’SINGAPURA 🇸🇬 0-1 🇲🇾 MALAYSIA#FAM #HarimauMalaya #Vietnam2021 pic.twitter.com/KYf5M3vovX
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 14, 2022
Untuk kejohanan akan datang, jelas Luqman yakin dengan kemampuan rakan-rakannya dapat menyesuaikan diri dengan baik walaupun cuaca di sana lebih sejuk berbanding ketika mereka beraksi di Mongolia pada tahun lalu.
Dalam masa sama, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi selaku kapten pasukan pula optimis mereka mampu tampil dengan lebih baik pada kejohanan tersebut sambil mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong tempatan.
“Setakat in, pemain dalam keadaan baik kerana jurulatih bagi cuti sehari untuk meluangkan masa dengan keluarga. Itu antara pembakar semangat kami untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.
Selain itu, Brad Maloney juga antara individu yang percaya para pemain kendaliannya mampu untuk melakar kejayaan di Uzbekistan walaupun kejohanan bakal dihadapi mereka lebih besar.
Menurut pengendali tersebut, setelah mengharungi enam perlawanan di kejohanan Sukan SEA baru-baru ini, beliau melihat perkara tersebut sebagai suatu persediaan yang baik buat para pemain sebelum ke Piala Asia B-23.
Maloney juga tampil yakin mengenai para pemain dan melihat komitmen diberikan mereka mampu untuk terus melakar kejayaan lebih baik pada perlawanan akan datang.
Untuk saingan Piala Asia B-23 ini, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan Korea Selatan, Vietnam dan Thailand.